BERUAS: Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Masyarakat Prihatin Beruas menyediakan bantuan persekolahan kepada pelajar bagi sesi persekolahan tahun ini.
Sebanyak RM40,000 diperuntukan kepada 400 pelajar dari kalangan keluarga B40 dalam satu majlis penyerahan di sini hari ini.
Ia merupakan bantuan kewangan kepada penerima yang layak sebagai insentif tambahan dalam menyediakan peralatan persekolahan yang diperlukan untuk sesi pembelajaran.
Majlis penyerahkan bantuan persekolahan YBR disempurnakan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad di Dewan Inderawati di sini.
Turut hadir wakil kepada Pengurus Besar YBR iaitu Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin.
Sementara itu, Azhar berterima kasih di atas sokongan dan bantuan yang diberikan YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik khususnya pelajar di sekitar Beruas.
Beliau berharap YBR akan dapat membantu lebih banyak program berunsurkan pendidikan di negeri ini.
“Bantuan seumpama ini amat bermakna bagi mereka yang tinggal di luar kawasan bandar bagi menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah,” katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan YBR berharap bantuan itu dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan sekolah yang perlu diganti walaupun jumlah yang diberikan tidak besar.
“Usaha ini merupakan tanda kasih sayang YBR dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik dan memberi semangat kepada pelajar sekolah untuk mendapatkan keputusan cemerlang serta mengurangkan bebanan yang perlu ditanggung ibu bapa,” kata YBR dalam kenyataan. – UTUSAN










