NIBONG TEBAL : Pengundi Cina dan India didapati telah kembali menyokong Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kepada keputusan terkini Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kelmarin yang menyaksikan wakil PN, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi.
Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dominic Lau berkata, kemenangan Abidin atau lebih dikenali sebagai Abang Bidin dengan majoriti yang besar itu juga boleh dianggap sebagai satu mesej jelas bahawa rakyat kini menolak kerajaan Madani.
“Kita memang tidak ada data mengenai pengundi India atau Cina undi siapa, tetapi, kita boleh lihat keputusan di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang merupakan kawasan majoriti penduduk bukan Melayu iaitu PDM Puteri Gunong dan PDM Sungai Bakap.
“Di PDM Puteri Gunong pada pilihan raya sebelum ini kita kalah lebih 2,000 undi, tetapi, pada PRK ini kita kalah dengan jumlah 361 undi sahaja.
“Bagi PDM Sungai Bakap pula ,pada pilihan raya sebelum ini kita kalah dengan 650 undi, namun, kali ini kita telah menang di PDM Sungai Bakap dengan 145 undi. Jadi, di sini, kita boleh nampak dengan jelas bahawa sokongan pengundi Cina dan India memihak kepada PN,” katanya dalam sidang akhbar di Medan Selera Sungai Bakap di sini hari ini.
Terdahulu Dominic serta pemimpin Gerakan Pulau Pinang bersama Abidin yang baru memenangi kerusi DUN Sungai Bakap dalam pilihan raya itu mengadakan pertemuan dengan para pengundi sekitar medan selera berkenaan.
Mengulas lanjut, Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, kesepakatan antara jentera-jentera PN ketika berkempen juga adalah faktor yang menyakinkan rakyat untuk mengundi calon PN.
“Jentera kita memang berkempen bersungguh-sungguh dengan menyasarkan kempen kepada pengundi berbilang bangsa dan agama malah jentera kita juga bersatu padu.
“Tetapi ia tidak berlaku di pihak PH terutama parti DAP di mana jentera kempen mereka berpecah dua. Satu kumpulan menyokong Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) manakala satu lagi puak menyokong pemimpin lain,” katanya yang memberitahu, hanya jentera yang menyokong Kon Yeow sahaja turun membantu kempen calon PH.
Tambah Dominic, peratusan pengundi yang rendah juga menunjukkan bahawa rakyat melakukan protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal memahami kehendak rakyat sehingga menyebabkan kenaikan kos sara hidup berlaku dan pelbagai masalah lain.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai PRK bagi kerusi DUN Nenggiri pula, Dominic berkata, Gerakan bersiap sedia untuk turun membantu kempen calon PN bagi memastikan kemenangan di situ pula.
“Pendekatan kempen mungkin berbeza dengan cara yang kita gunakan di Sungai Bakap kerana kita perlu mengkaji dahulu ratio pengundi di sana, isu-isu serta masalah penduduk setempat di DUN Nenggiri,” katanya.-UTUSAN










