NIBONG TEBAL : Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail memberitahu bahawa beliau akan mengumumkan manifesto pilihan rayanya esok.
Menurut Abidin, manifesto yang dirangka dengan teliti untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap itu akan diumumkan bersama pemimpin parti di Bilik Gerakan Utama PN.
“Butiran sudah dirangka dan kita akan umum kira-kira pukul 11 pagi esok,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyantuni pengundi di Bandar Tasek Mutiara di sini, petang tadi.
Sabtu lalu, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin melancarkan manifesto berteraskan empat tawaran utama yang digariskan menerusi akronim PADU.
Empat teras yang terkandung dalam manifesto yang diambil daripada perkataan Per-PADU-an itu tertumpu kepada aspek prasarana dan progresif (P), akhlak, akademik, anak muda (A), damai (D) dan untuk semua (U).
Abidin dan Joohari akan bertembung dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Abidin menegaskan bahawa isu bekalan air sudah lama diperjuangkan oleh bekas wakil rakyat Sungai Bakap yang terdahulu iaitu arwah Nor Zamri atau Abang Zam.
Malah, kata Abidin, beliau yang ketika itu bertugas sebagai pegawai khas kepada Allahyarham ada menyediakan soalan berhubung isu terbabit ketika sidang DUN pertama pada November lepas.
“Saya ni PA (pegawai khas) dia dan memang kita buat soalan dalam sidang DUN pertama pada bulan 11 lepas. Kalau tak percaya, boleh tengok Tik Tok rasmi saya kerana video mengenai isu air itu ada dimuat naik di situ. Malah, arwah sudah suarakan masalah (air) yang telah berlarutan lebih lima tahun lalu.
“Oleh itu, kita sebagai pembangkang akan terus menjadi pendesak untuk pastikan ada ‘check and balance’,” katanya ketika menjawab dakwaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengatakan bahawa Nor Zamri Ketika menjadi ADUN Sungai Bakap sebelum ini dikatakan tidak pernah berbahas masalah bekalan air yang berlaku di kawasannya ketika siding DUN Pulau Pinang.
Abidin dan Joohari akan bertembung dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat penyakit keradangan dalam perut.-UTUSAN








