KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan menerusi gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk memfokuskan strategi micro-targeting kepada setiap pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan, 17 Ogos depan.
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bagi PRK Nenggiri kali ini, gabungan PH-BN tidak akan mengadakan ceramah umum atau ceramah mega dalam kempen bagi meraih undi pengundi.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan akan menggabungkan senarai ahli dan penyokong dari BN dan PH untuk memastikan setiap pengundi di negeri ini tidak terlepas.
“PH Kelantan telah mengadakan beberapa siri mesyuarat dan sedar bahawa pilihan raya ini penting untuk Kerajaan Perpaduan.
“Matlamat utama kita adalah untuk mencapai kemenangan melalui kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional serta pilihan raya kali ini merupakan peluang bagi kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan Barisan Nasional-Pakatan Harapan Bagi Pilihan Raya Kecil Dun Nenggiri, Kelantan di Bilik Mesyuarat Sekretariat, Menara Dato Onn, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, melalui kerjasama itu Kerajaan Perpaduan juga diharapkan dapat menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat.
Katanya, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu, BN Kelantan telah menerima sokongan daripada masyarakat dan memfokuskan untuk meraih sokongan pengundi dari pelbagai latar belakang, termasuk di kampung tradisi, Felda, Kesedar, dan kawasan orang asli.
“BN dan PH mempunyai pengaruh yang kuat di perkampungan orang asli, dan dengan kerjasama yang terjalin, kami berharap dapat memperoleh sokongan penuh daripada mereka.
“Kita juga mempunyai kawasan-kawasan putih bagi PH. Cabaran utama kita adalah memastikan penyokong-penyokong kita, yang berdasarkan data berjumlah sekitar 2,400 pengundi, keluar mengundi kali ini,” jelasnya.
Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, PH-BN telah sepakat untuk menyelaraskan kerjasama dalam pelbagai aspek, terutamanya dalam menggerakkan jentera di semua peringkat di Kelantan dan juga negeri-negeri luar.
“Kami menyedari bahawa PRK ini amat penting dan kerjasama yang kukuh antara kedua-dua jentera, sebagaimana yang ditunjukkan dalam siri pilihan raya yang lalu, adalah kunci untuk mencapai kemenangan.
“Pengalaman dalam menghadapi pilihan raya negeri dan kecil, dari Tioman hingga ke Sungai Bakap, telah membantu memperkuatkan kesefahaman antara BN dan PH,” ujarnya. – UTUSAN










