KUALA LUMPUR: Polis sudah menyerahkan permohonan Perintah Untuk Menyiasat (OTI) kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi merakam percakapan pelakon lelaki yang didakwa memukul teman wanitanya dalam kejadian di Petaling Jaya dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, permohonan dihantar hari ini bagi mendapatkan perintah untuk memanggil suspek bagi dirakam percakapan.
“Ya, kita sudah submit (hantar) permohonan untuk mendapatkan perintah untuk menyiasat kepada TPR, hari ini.
“Kita akan panggil pelakon terbabit setelah dapat kebenaran OTI berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambahnya, peruntukan Seksyen 323 Kanun Keseksaan (menyebabkan cedera) memerlukan polis memperoleh OTI untuk menyiasat daripada pihak TPR.
Media semalam melaporkan seorang wanita dipukul teman lelakinya yang juga pelakon dalam kejadian di Ara Damansara, Petaling Jaya dekat sini, awal pagi kelmarin.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, kejadian pukul 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila mangsa keluar bersama kakaknya sebelum dihubungi suspek yang memarahinya kerana perselisihan faham.
“Teman lelaki mangsa berusia 37 tahun kemudian meminta wanita berkenaan untuk datang berjumpanya sebelum mereka bertemu di Ara Damansara kira-kira pukul 4 pagi,” katanya.
Shahrulnizam berkata, sebaik tiba, mangsa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu teman lelakinya.
Tiba-tiba teman lelaki mangsa memarahinya dan terus menumbuk mata sebelah kiri serta badan wanita berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. – UTUSAN







