Pukul teman wanita, laporan perubatan diserah pada Oktober - Utusan Malaysia

Pukul teman wanita, laporan perubatan diserah pada Oktober

Pukul
MOHD. Rizal Mohd. Ghazali hadir pada hari pertama pertuduhannya pada 19 Jun lalu dekat Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Selangor,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini, kelmarin menunda sebutan semula dan pengurusan kes berhubung tuduhan pukul yang dihadapi oleh seorang pemain bola sepak Sabah bagi serahan laporan perubatan pengadu.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menetapkan 10 Oktober depan memandangkan dokumen berkaitan kes masih belum lengkap termasuk laporan perubatan mangsa untuk diserahkan juga kepada pihak pembelaan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan tertuduh, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali untuk menukar peguam bagi mewakilinya daripada Datuk Suraj Singh kepada Mohamed Ashmeer Mohamed Ashrof.

Pada 19 Jun lalu, Mohd. Rizal, 31 yang juga merupakan pemain pertahanan Sabah FC mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Hani Farhana Sani.

Tertuduh yang juga dikenali sebagai Rizal Ghazali dikatakan memukul wanita yang dipercayai kekasihnya itu dekat dalam sebuah bilik hotel di sini pada pukul 6 pagi 7 Jun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua, Mohd. Rizal didakwa melakukan khianat dengan merosakkan telefon bimbit milik wanita sama sehingga menyebabkan kerugian RM4,500 pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan kedua itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang menperuntukkan hukuman maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret kemudian membenarkan Rizal Ghazali diikat jamin sebanyak RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan teman wanita tertuduh memuat naik satu gambar menunjukkan dirinya telah dicederakan oleh individu yang disayanginya itu.

Perbuatan terbabit menyebabkan wanita berkenaan mengalami lebam di tangan dan beberapa kesan calar sebelum mendapatkan rawatan susulan di sebuah klinik swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya