IPOH: Pindaan akta bagi mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pemaju perumahan yang terlibat dalam kes penipuan atau projek terbengkalai akan dibentangkan pada sidang Parlimen tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kementerian akan mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).
Katanya, sesi libat urus itu akan turut membabitkan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) serta persatuan pembeli rumah.
“Sebelum kita buat apa-apa keputusan, kajian dan penyelidikan akan sentiasa kami jalankan. Jadi kita perlu dengar dulu suara daripada pemegang taruh seperti Rehda dan persatuan pembeli,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kor Ming sebelum ini dilaporkan berkata, akta sedia ada hanya melindungi harta rumah kediaman, kedai komersial, pejabat, pusat beli-belah dan unit komersial yang tidak tertakluk kepada kawalan.
Menerusi pindaan itu kelak, sebarang kes penipuan atau projek terbengkalai boleh didakwa ke mahkamah dan dikenakan hukuman penjara tiga tahun, denda RM250,000 hingga RM500,000 atau kedua-duanya.
Beliau sebelum itu bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN) berhubung kerjasama pemulihan projek perumahan bermasalah dan terbengkalai di Perak.
Pertukaran dokumen itu membolehkan kedua-dua pihak berusaha mengumpul maklumat serta memantau projek perumahan sakit dan terbengkalai di Perak agar dapat diselamatkan.
Sementara itu, Saarani berkata, data terkini daripada JPN menunjukkan terdapat 58 projek perumahan melibatkan 4,007 unit rumah yang dikategorikan sebagai projek sakit di Perak sehingga 31 Mei 2024.
“Kerajaan negeri yakin kerjasama erat antara kedua-dua pihak akan dpat membawa perubahan positif dalam landskap perumahan negeri Perak dan berpotensi menjadi model kerjasama yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain,” katanya.
Tambahnya, setakat ini lima projek telah dikenalpasti sebagai terbengkalai di Perak dan kini di bawah pemantauan aktif LPHP.
Lima projek itu ialah D’Aman Residensi Meru Raya (Ipoh), Taman Tapah Permai (Tapah), Taman Cempaka II (Manjung), Taman Seri Emas (Kampar) dan Taman Limau Mas di Beruas. – UTUSAN










