KUALA LUMPUR: Tindakan jururawat tempatan menerima tawaran bekerja di luar negara yang menawarkan gaji lebih tinggi, menjadi antara faktor fasiliti kesihatan perubatan swasta berhadapan masalah kekurangan tenaga kerja.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkata, kerjasama dengan pelbagai agensi dilakukan bagi menangani polemik tersebut dan memastikan keperluan penjagaan kesihatan dapat dipenuhi.
Menurutnya, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Perkeso memainkan peranan signifikan dengan memastikan keutamaan kepada bakat tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan.
Perkeso berkerjsama dengan semua hospital swasta dalam usaha memastikan jururawat tempatan mengisi jawatan sebagai jururawat di fasiliti perubatan berkenaan dengan mengiklankan jawatan yang diperlukan oleh setiap hospital terlibat.
“Perkeso turut bersama membantu menyenarai pendek calon-calon yang memiliki latar belakang sebagai jururawat berdaftar di Portal MYFutureJobs selain melaksanakan karnival kerjaya dan temu duga terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sebanyak 220 hospital swasta di seluruh negara terus berdepan masalah kekurangan jururawat yang boleh menjejaskan operasi mereka dan industri pelancongan kesihatan di negara ini.
Perkara itu diburukkan lagi apabila Kesuma belum meluluskan kemasukan 9,200 jururawat dari Filipina dan India.
Langkah itu bertentangan dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang sudah meluluskan kemasukan jururawat tersebut dengan memberi pengecualian termasuk membuka kelayakan pasca asas jururawat luar negara untuk bekerja di hospital-hospital swasta.
Perkeso memaklumkan, antara majikan industri kesihatan yang bekerjasama dengan pihaknya adalah IHH Healthcare Malaysia selepas menyahut saranan kerajaan untuk menggunakan khidmat jururawat tempatan.
Katanya, usaha itu serampang dua mata dalam membuka peluang pekerjaan kepada bakat tempatan, sekali gus mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan.
“IHH Healthcare Malaysia juga dilihat membuat perancangan yang rapi dari segi pengambilan bagi jawatan jururawat tempatan dan asing secara berperingkat dengan Kesuma menerusi Perkeso memastikan keutamaan diberikan kepada bakat tempatan,” katanya. – UTUSAN










