Peruntukan RM1 juta baiki, baik pulih kuarters IPD Marang - Utusan Malaysia

Peruntukan RM1 juta baiki, baik pulih kuarters IPD Marang

ANWAR Ibrahim (tengah) meninjau kuarters pegawai dan anggota polis yang mengalami kerosakan ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga KDN Negeri Terengganu di IPD Marang, Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi tujuan membaiki dan membaik pulih 20 unit kuarters pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu diberikan selepas mendapati kuarters yang siap dibina pada 2006 itu mengalami kerosakan sehingga tidak dapat dihuni pegawai dan anggota.

Menurut beliau, kelulusan segera itu antara usaha dan komitmen kerajaan persekutuan menjaga kebajikan pegawai dan anggota pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita minta tentera atau polis menjaga keamanan tetapi jika dilihat ada perumahan (kuarters) mereka yang rosak jadi kita sedang selesaikan masalah ini bermula tahun lalu.

“Untuk 20 unit kuarters IPD Marang ini, saya luluskan segera RM1 juta dan saya minta KDN serta PDRM ambil tindakan segera agar 20 buah keluarga dapat menghuni semula kediaman itu.

“Jika ada keperluan baik pulih di lokasi lain, KDN akan beri cadangan, namun kerajaan perlu meneliti kedudukan kewangan sama ada boleh dilaksana tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga KDN Negeri Terengganu di Dewan Seri Kapas, IPD Marang di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam ucapan sama, Perdana Menteri mengingatkan anggota penguat kuasa agar menanam nilai dan sikap jati diri yang tinggi bagi membantu negara mengangkat agenda perubahan yang positif.

“Tugas seorang penguat kuasa sangat mencabar dan menggalas tanggungjawab besar dan untuk menjadi anggota yang baik, perlu ada latihan serta nilai-nilai jati diri yang betul,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN