GEORGE TOWN : Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) iaitu pengendali perkhidmatan bas Rapid Penang memperluaskan jaringannya dengan memperkenalkan perkhidmatan percubaan Demand Responsive Transit (DRT) Rapid Penang yang pertama di Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, perkhidmatan percubaan DRT itu akan dilaksanakan di Farlim dan Air Itam bermula esok iaitu 1 Ogos sehingga 31 Oktober depan.
Katanya, perkhidmatan tersebut akan melalui fasa pembuktian konsep (POC) melibatkan kerjasama dengan aplikasi tempahan perkhidmatan e-hailing Kumpool, untuk manfaat pengguna yang sebelum ini sukar mendapat akses kepada perkhidmatan bas.
“Kami sentiasa berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang relevan kepada para penumpang. Perkhidmatan DRT ini merupakan mod pengangkutan yang fleksibel mengikut permintaan penumpang.
“Ia menyediakan kesalinghubungan ‘first-last-mile’ dengan perkhidmatan laluan bas sedia ada dengan purata kekerapan 10 minit untuk perjalanan penumpang yang lebih lancar ke Georgetown,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Muhammad Yazurin, perkhidmatan yang meliputi radius dua kilometer (km) itu juga menghubungkan penumpang ke beberapa tempat tumpuan seperti Pekan Air Itam, Kek Lok Si, Sunshine Central, Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam dan Pekan Farlim.
“Perkhidmatan DRT ini menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari pukul 6 pagi sehingga 11 malam dengan tambang pengenalan RM1 untuk setiap perjalanan.
“Penumpang boleh membayar tambang secara tunai atau menggunakan Pas Mutiara My50 serta Pas Perjalanan OKU Smile,” katanya.-UTUSAN










