Perjanjian doktor mahu jadi pakar menyusahkan, tidak masuk akal

Perjanjian doktor mahu jadi pakar menyusahkan, tidak masuk akal

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Syarat tujuh tahun perlu berkhidmat dengan kerajaan selain denda RM350,000 yang dikenakan terhadap doktor yang gagal dalam pe­ngajian di peringkat pakar, dianggap tidak adil.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang doktor yang mahu dikenali sebagai Ali berkata, mana-mana doktor yang berhasrat untuk menjadi pakar, diwajibkan mengambil tajaan daripada kerajaan melalui biasiswa atau dikenali sebagai Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Katanya, beliau adalah salah seorang ‘mangsa’ kepada ikatan perjanjian itu selepas dia gagal menghabiskan pengajian ekoran tidak lulus peperiksaan klinikal pada tahun pertama.

“Saya bukan menarik diri daripada pengajian, tetapi ‘digagalkan’ beberapa kali dalam peperiksaan klinikal iaitu peperiksaan melibat­kan ujian klinikal atau amali di la­pangan.

“Peperiksaan ujian teori lain saya lulus. Disebabkan itu, saya tidak dapat meneruskan pengajian dan kini terikat dengan pe­nalti yang ditetapkan iaitu perlu berkhidmat selama tujuh tahun ditambah pula wajib membayar ganti rugi sebanyak RM350,000,” katanya di sini.

Beliau berkata, syarat ditetapkan amat membebankan doktor yang berminat untuk menjadi pakar dan ia akan menggagalkan usaha untuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan di negara ini.

Bagi pelatih yang memilih kaedah pe­ngajian kombinasi dalam dan lu­ar negara, ikatan atau ganti rugi yang dikenakan ialah tujuh tahn perkhidmatan dan/atau ganti rugi berjumlah RM700,000; manakala pengajian sepenuhnya dalam negara (lima tahun berkhidmat dan/atau RM350,000). Mereka yang mengambil peperiksaan luar negara (enam tahun berkhidmat dan/atau RM500,000).

Bagi pelatih sedia ada pula, kaedah pengajian secara kombinasi dalam dan luar negara, ikatan atau ganti rugi yang dikenakan ialah empat tahun berkhidmat dan/atau RM350,000; manakala pengajian sepenuhnya dalam negara (tiga tahun berkhidmat dan/atau RM100,000).

Dr. Ali berkata, syarat yang di­kenakan ini adalah tidak masuk akal iaitu wajib berkhidmat dengan kerajaan dan bayaran penalti.

Beliau berkata, sebelum ini ikatan perjanjian tersebut adalah minimum lima tahun berkhidmat dan penalti hanya RM100,000.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak memberikan penjelasan terperinci mengapa perlu bayar penalti sehingga RM350,000 sedangkan kos pengajian tiga kali lebih rendah daripada penalti.

“Ramai yang mahu jadi pakar terpaksa akur dengan syarat ini termasuk program laluan selari (parallel pathway) diletakkan syarat sebegini,” katanya.

Beliau juga mendakwa setiap doktor yang mahu menyambung menjadi pakar diwajibkan mengambil biasiswa ke­rajaan atau kepakaran mereka tidak diiktirafsekiranyaa menaja pebelajaran dengan wang sendiri.

Katanya, peraturan seperti ini tidak memberikan keadilan kepada doktor sedangkan kerajaan sepatutnya memudahkan cara bagi menggalakkan lebih ramai doktor menjadi pakar sekali gus mengukuhkan sistem ke­sihatan negara.

Sementara itu, Kumpulan Hartal Doktor Kontrak mengesahkan situasi yang dihadapi doktor yang ingin menjadi pakar.

Menurut jurucakapnya, Dr. Muhammad Yassin, syarat dan ikatan perjanjian itu wujud sudah lama tetapi jumlah ba­yaran ganti rugi meningkat ke RM350,000 bermula beberapa tahun lalu.

Katanya, perjanjian itu dibuat bagi mengelak doktor pakar kerajaan berhijrah ke sektor swasta.

“Sekiranya ada doktor yang tidak tamat belajar sebab-sebab kesihatan atau kemalangan, mungkin boleh diberi kelepasan dari membayar penalti yang tinggi. Satu mekanisme harus dibuat supaya tidak membebankan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN