IPOH : Perak FC mahu menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk mendapatkan tiga mata ke atas Penang FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak di sini hari ini.
Ketua Jurulatih Perak FC, Mohd Yusri Che Lah berkata, perlawanan itu harus digunakan sebaik mungkin oleh pemain untuk mengutip mata penuh.
“Ini kali kedua perlawanan di gelanggang sendiri musim ini, jadi pemain perlu guna kelebihan beraksi di tempat sendiri.
“Perak perlukan kemenangan untuk keluar dari kelompok bawahan,” katanya.
Menurutnya, usaha sudah dilakukan untuk memperbaiki segala aspek kelemahan dan mempertingkatkan lagi corak permainan pasukan.
Bagi menghadapi perlawanan ini Perak FC tidak menghadapi masalah penggantungan pemain.
Namun, Luka Milunovic dan Haziq Nazli masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Akan ada sedikit rombakan dalam usaha mengimbangi kekuatan pasukan,” jelasnya.
Yusri berkata, Penang FC pasukan yang liat untuk ditumbangkan dan ini dibuktikan dalam saingan liga dan Piala FA apabila pasukan itu hanya dibolosi tiga atau empat jaringan sahaja.
“Saya berharap pemain tidak menganggap mudah pertemuan itu nanti sebaliknya berusaha gigih meraih kemenangan,” katanya. – UTUSAN










