PUTRAJAYA: Kerajaan akan membawa pulang semua warga Malaysia yang terkandas di Bangladesh, hari ini susulan situasi rusuhan ganas di negara berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi kelulusan agar pelan evakuasi dilaksanakan.
“Saya telah bercakap menerusi telefon dengan beliau yang mengarahkan supaya rancangan bawa pulang disegerakan,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Putra.
Terdahulu, beliau mengadakan sesi pertemuan khas dengan sekumpulan ibu bapa pelajar Malaysia di negara itu selama sejam yang diketuai Mejar Jeneral (B) Nubli Hashim.
Ketegangan di Bangladesh tercetus ekoran bantahan ribuan pelajar terhadap keputusan Mahkamah Agung yang menetapkan kuota pekerjaan sektor kerajaan pada 5 Jun lalu.
Demonstrasi besar-besaran mula tercetus di seluruh negara itu sejak 1 Julai lalu yang menyaksikan lebih 150 penunjuk perasaan maut manakala ribuan lagi mangsa cedera.
Mohamad berkata, Wisma Putra setakat ini sudah mengesan 139 pelajar di Bangladesh dengan sejumlah 15 orang selamat pulang ke tanah air lebih awal.
“Paling ramai di Mymensingh Medical College (MMC) yang yang merekodkan 55 pelajar kita dan terletak lebih 113 kilometer dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka,” katanya.
Sementara itu, cuma ada seorang pelajar yang menuntut di Chittagong, iaitu paling jauh dari ibu negara tersebut manakala kira-kira 58 warga Malaysia dikenal pasti bukan pelajar.
Susulan usaha evakuasi tersebut, beliau sudah menghubungi AirAsia dan meminta operator itu menyediakan pesawat model Airbus A330 dengan berkapasiti 380 penumpang.
Katanya, kapal terbang saiz lebar itu dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di ibu kota Dhaka pada pukul 10 pagi ini.
“Penggunaan pesawat berkenaan disebabkan ada warga Malaysia tidak mendaftar dengan suruhanjaya tinggi yang ketika ini sudah merekodkan 192 orang.
“Difahamkan ada 10 juruterbang kita yang bekerja dengan pelbagai syarikat penerbangan asing dengan keluarga mereka di Bangladesh turut ingin pulang ke tanah air,” katanya.
Mohamad juga menyangkal laporan pihak tertentu kononnya lambat bertindak malah menjelaskan bahawa beliau sendiri berhubung dengan misi Malaysia sejak hari pertama.
Pada masa sama, ujarnya, Wisma Putra berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara bagi merangka pelbagai pelan kecemasan yang berdasarkan situasi semasa di sana.
Beliau berkata, operasi pemindahan itu dilaksanakan ketika perintah berkurung kerana suasana perjalanan diiringi pasukan keselamatan lebih selamat menuju lapangan terbang. – UTUSAN








