Penduduk dua kampung di Kinabatangan resah isu pemilikan tanah

Penduduk dua kampung di Kinabatangan resah isu pemilikan tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratusan penduduk Kampung Koyah B dan Sungai Lokan di Kinabatangan mendakwa berlaku ketidaktelusan berhubung pemilikan tanah di kedua-dua kawasan tersebut.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada wakil penduduk yang mendakwa tanah yang didiami serta diteroka mereka telah dikeluarkan geran kepada pihak ketiga.

Dakwanya, bagi Kampung Koyah B,  penduduk   mula meneroka satu lot tanah dengan menanam tanaman seperti pokok kelapa sawit dan buah-buahan kira-kira 30 tahun lalu.

Beliau mendakwa, penduduk turut membuat permohonan tanah di Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) pada 1997 namun menerima surat pembatalan permohonan pada 2014. 

“Penduduk kampung telah mengambil inisiatif dengan membuat semakan semula berkenaan dengan permohonan tanah di PHT dan mendapati permohonan tanah tersebut masih sah dan status masih dalam proses ke Jabatan Teknikal. 

“Justeru, ini menunjukkan surat yang didapati oleh para pengadu merupakan satu surat yang meragui. 

“Namun, penduduk kampung tahun ini dimaklumkan bahawa tanah yang mereka pohon pada sekitar tahun 1997 telah dikeluarkan geran kepada pihak ketiga,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MHO di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin mendakwa, tanah yang didiami oleh ratusan penduduk Sungai Lokan di Kinabatangan telah dipindah milik kepada suatu syarikat selepas puluhan tahun mereka menunggu geran yang dipohon sejak 1997.

Jelasnya, tanah tersebut yang menjadi penempatan sementara penduduk untuk aktiviti pembalakan pada 1990 telah ditukar menjadi ladang tanaman kelapa sawit sehingga sebilangan penduduk mendapat permohonan tanah dan lesen daripada Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) yang sah.

“Bagaimanapun, sebuah syarikat mula masuk dan mengukur tanah yang telah didiami oleh penduduk kampung dengan alasan tanah tersebut telah digazetkan sebagai tanah pertanian pada 2007.

“Pada 2015, penduduk kampung memaklumkan bahawa geran telah dikeluarkan kepada syarikat tersebut. Isu  ini telah mendapat perhatian dan campur tangan  wakil rakyat.

“Baru-baru ini penduduk kampung diberi masa sehingga hujung Disember ini untuk mengosongkan tanah tersebut,” katanya.

Justeru, pihaknya bersama wakil penduduk akan membuat laporan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya esok bagi menggesa satu siasatan dijalankan berkaitan isu terbabit.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN