BAGAN SERAI: Paras bacaan air di Tasik Bukit Merah semakin menyusut sehingga menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di Daerah Kerian.
Tinjauan di tasik itu mendapati paras air semakin menyusut dari tebing jeti nelayan darat di Kampung Selamat dan juga di kawasan Bukit Merah Laketown Resort.
Sebulan lalu, paras bacaan penyusutan air dari jeti nelayan hanyalah sejauh 960 meter namun tinjauan hari ini mendapati penyusutan telah berlaku sejauh 1,500 meter ke tengah tasik.
Seorang penduduk di Alor Pongsu, Azrul Yusof, 38, berkata, paras air terkini di empangan itu semakin menyusut berbanding paras bacaan minggu lalu.
“Kami difahamkan paras bacaan air di tasik itu pagi ini 19.85 kaki, berbanding bacaan semalam iaitu 19.90 kaki. Ini menandakan air semakin menyusut berbanding minggu lalu yang mencatat bacaan 20.45 kaki. Keadaan ini sudah tentu membimbankan kami,” katanya.
Menurut Azrul, sebulan selepas pengairan untuk sawah dihentikan, ia menjejaskan ramai pesawah.
Katanya, perkara yang membimbangkan mereka ialah jika paras bacaan air tasik terus menyusut sehingga ke paras bacaan 17 kaki.
“Bila sampai pada paras bacaan itu, kami bimbang bekalan air untuk pengguna mungkin terjejas,” katanya.
Katanya, penduduk disini berharap operasi pembenihan awan yang dilakukan selama tiga hari bermula semalam akan menurunkan hujan.
“Kami berharap operasi pembenihan awan berjaya bagi mengelak bekalan air terus berkurangan,” katanya.
Kemarau di Kerian menjejaskan hampir 5,000 sawah apabila bekalan air ke sawah dihentikan sejak 28 Jun lalu disebabkan Tasik Bukit Merah kering akibat cuaca panas.
Sebelum ini, Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Noor Mazirah Teh berkata, antara kawasan sawah yang terlibat termasuk di Kuala Kurau, Jalan Siakap, Alor Pongsu, Bagan Serai, Masjid Tinggi, Parit Gabis, Telok Medan, Semanggol dan Selinsing.
Katanya, keluasan sawah yang terlibat dengan masalah iaitu ialah 4,890 hektar 2,162 pesawah
IADA membantu pesawah dengan menghantar 37 unit pam air pelbagai saiz di lokasi yang terlibat untuk mengepam air dari parit.
Namun pesawah mendakwa walaupun pam air dihantar ke kawasan terjejas, bekalan air yang dipam dari parit masih tidak cukup untuk disalurkan ke dalam kawasan sawah di kampung itu.
Ini menyebabkan padi yang baru ditanam 40 hari lalu daunnya mulai layu dan bertukar warna kepada kekuningan dan jika masih tiada air dibekalkan, kemungkinan padi yang baru ditanam akan mati.
Sebahagian besar kawasan yang terlibat dengan masalah air menyebabkan tanahnya kering kontang. – UTUSAN











