PETALING JAYA: Mewujudkan silibus baharu khusus untuk pencegahan dadah boleh memberi beban tambahan kepada para pelajar.
Timbalan Pengerusi Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Anuar Ahmad berkata, tiada keperluan menambah silibus atau subjek khusus memfokuskan kepada dadah.
Katanya, penambahan silibus itu hanya meningkatkan bebanan para pelajar dengan silibus sedia ada.
“Masalah gejala sosial melibatkan remaja ini sememangnya perlu diberikan perhatian dalam pendidikan tetapi tidak perlu ada silibus khusus.
“Banyak sebenarnya isu yang perlu dipelajari anak-anak kita tetapi kalau semua ini perlu silibus baharu, maka ia akan memberi satu beban yang tinggi pada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu, Ahli Parlimen Gombak, Amirudin Shari mengusulkan supaya mengajar silibus mencegah dadah di sekolah.
Menurutnya, 83,000 daripada 145,000 individu yang terlibat dengan dadah mempunyai pendidikan peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke bawah.
Anuar berkata, berbanding silibus baharu, pendekatan boleh diambil adalah menerusi pengukuhan subjek berkaitan akhlak dan perbincangan menerusi silibus yang sudah tersedia.
Katanya, antara subjek terlibat adalah pendidikan Islam, pendidikan moral dan subjek-subjek bahasa.
“Perkara yang mesti dilakukan dalam sistem di peringkat sekolah rendah adalah memperkukuh ilmu pendidikan Islam dan moral dengan melibatkan isu-isu ini dalam pembelajaran.
“Kalau kita nak masukkan, maka letakkan di dalam pendidikan Islam dan moral. Kita juga boleh jadikan topik ini sebagai perbincangan dalam subjek bahasa Melayu dan Inggeris,” katanya.
Berkongsi pendapat sama, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon yang berkata, menjadikan pencegahan dadah sebagai satu silibus adalah tidak relevan.
Katanya, bagaimanapun perkara itu boleh dijadikan sebagai sisipan dalam topik dan teks yang sesuai.
“Sekolah di Malaysia telah terlalu padat dan berat dengan subjek yang ada. Sekolah bukan tempat longgokan segala idea untuk mengatasi masalah sosial dan disiplin warganegara kita.
“Asas iman dan ilmu perlu diberikan sekurang-kurangnya mereka tahu kesan, bahaya dan kerosakan yang berlaku akibat penagihan itu,” katanya. – UTUSAN









