PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO menyokong Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mempertahan polisi tidak membenarkan sumbangan daripada syarikat arak, rokok dan judi diberikan kepada sekolah.
Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan perlu mempertahan polisi sedia ada walaupun jika terdapat desakan daripada anggota Kabinet.
“Jika liga bola sepak negara pun tidak dibenarkan syarikat sebegini untuk menyumbang, apa lagi untuk sekolah di dalam negara ini. Saya mohon kerajaan untuk mempertahan polisi yang sedia ada ini walaupun diasak oleh mana-mana menteri untuk mengubahnya.
“Ini negara yang ada peraturan yang perlu dipatuhi. Pemuda UMNO menyokong penuh Menteri Pendidikan mengenai isu ini. Bebaskan anak-anak kita dari anasir yang tidak baik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP dilapor akan memberi penjelasan kepada Jemaah Menteri berhubung sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah Cina dalam mesyuarat Kabinet.
Anthony berkata, ia tidak sepatutnya dijadikan isu kerana syarikat minuman keras membantu mengumpul dana untuk sekolah Cina sejak puluhan tahun lalu.
“Syarikat minuman keras menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina berlaku sejak 30 tahun lalu dan saya juga pernah menghadiri majlis itu.
“Selama ini tidak timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu, katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM tidak akan mengkaji semula garis panduan kepada institut pendidikan dalam menerima sumbangan atau mengecualikannya kepada sekolah vernakular.
Menurutnya, semua sekolah perlu mengikuti panduan diberikan yang pada pendapatnya tidak terlalu sukar dipatuhi dan tidak mendatangkan mudarat. – UTUSAN










