GUA MUSANG: Pemuda yang memandu lori yang kayu balak jatuh menimpa seorang wanita sehingga cedera parah dalam kejadian di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara di sini kelmarin tiada lesen.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan terhadap lelaki berusia 24 tahun itu dilakukan selepas pemandu lori itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada waktu petang selepas kemalangan berlaku.
Menurut beliau, pemandu lori itu kemudian disaman atas kesalahan tidak mempunyai lesen memandu.
“Saman turut dikeluarkan kepada pemilik lori berusia 58 tahun kerana membenarkan lori berkenaan dipandu oleh individu yang tidak mempunyai lesen.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang jurujual wanita, Siti Norelyana Kamarulzaman, 21, terselamat daripada ajal selepas motosikal yang dia tunggang dihempap muatan kayu balak dari sebuah treler ketika melalui selekoh di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, di sini.
Siti Norelyana mengalami kecederaan dalaman selepas ditimpa kayu balak yang tergolek di lampu isyarat kini ditidurkan sebelum menjalani prosedur pembedahan.
Mangsa kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan masih dalam pemantauan rapi doktor selepas mengalami kecederaan patah bahagian tulang punggung dan tulang rusuk akibat batang balak menimpa bahagian belakangnya.
Choon Foo berkata, penyambung atau cakera putar (turntable) pada lori yang patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum menghempap seorang penunggang motosikal wanita.- UTUSAN











