Pekerja kedai makan didakwa miliki barang berkaitan IS

Pekerja kedai makan didakwa miliki barang berkaitan IS

MUHAMMAD Zul Khairi (tengah) dikawal ketat oleh anggota polis ketika dibawa masuk ke Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pekerja kedai makan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas, Islamic State (IS), Jun lepas.

Tertuduh, Muhammad Zul Khairi Mohamad Nasir, 33, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas IS di dalam telefon bimbit jenis Redmi Note 1 (dwi-sim) miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di 1521, Sungai Dua, Butterworth pada pukul 9.35 pagi pada 23 Jun lepas.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syafinas Shabudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menetapkan 19 Ogos depan untuk perbicaraan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan Mahkamah Butterworth di sini kira-kira pukul 8.45 pagi dengan dikawal ketat pihak polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN