KUALA LUMPUR: Pas menegaskan parti itu juga tidak akan bekerjasama dengan UMNO selagi kepemimpinannya di bawah tampuk pemimpin sama.
Pendirian itu dilihat sebagai respons kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan UMNO mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu kerana banyak keputusan bersama dikhianati Pas yang turut didakwa menunggang agama Islam.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemimpin UMNO itu tidak jujur kerana sebelum ini berulang kali mengatakan tidak akan bekerjasama dengan DAP atau Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PAS pun tidak akan bekerjasama (dengan UMNO) selagi dia (Ahmad Zahid) menjadi Presiden.
“Kami yakin kekuatan Perikatan Nasional (PN) sudah memadai untuk menjadi parti pilihan rakyat pada masa depan.
“Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap boleh menjadi ukuran sokongan dan penerimaan masyarakat kepada PN,” katanya memetik laporan media tempatan.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO mengambil iktibar daripada pengalaman masa lalu kerana banyak keputusan bersama dikhianati parti komponen PN itu yang turut didakwa menunggang agama Islam.
Sebelum PRU15, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO tidak akan bekerjasama dengan Anwar, DAP atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya melalui ikrarnya ‘tiada Bersatu, tiada Anwar, tiada DAP’ pada Perhimpunan Agung UMNO 2021.
Tetapi, selepas PRU15, beliau mengetuai Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan perpaduan bersama PH, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.
Dalam masa yang sama, Tuan Ibrahim mendakwa UMNO semakin lemah sehingga terpaksa menyerahkan kerusinya kepada DAP dan PKR.
Contoh kerusi tersebut adalah Sungai Bakap, Kuala Kubu Baharu serta Ketari.
“Jelas ia semakin lemah kerana kepimpinan yang ada dalam UMNO,” ujarnya. – UTUSAN










