KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berdolak-dalik mengenakan hukuman terhadap menteri atau agensi kerajaan jika terdapat bukti menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan kempen pilihan raya.
Katanya, Kabinet Jemaah Menteri sudah memutuskan sebarang penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya khususnya selepas hari penamaan calon tidak dibenarkan.
“Sebaik sahaja selesai hari penamaan calon, menteri atau timbalan menteri atau mana-mana agensi tidak dibenarkan sama sekali untuk menggunakan jentera kerajaan dalam kempen. Kalau sebelumnya soal lain. Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil tindakan wajar.
“Saya tidak berdolak-dalik sama ada sebelah sini (kerajaan) atau sana (pembangkang). Jika ada menteri atau agensi kerajaan gunakan jentera kerajaan semasa kempen, ia sudah melanggar komitmen Jemaah Menteri dan tindakan disiplin mesti diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, prinsip itu harus dipegang bagi mengelakkan budaya rasuah dalam kalangan pemimpin politik.
“Ini ada kaitan dengan prinsip yang kita bawa mengenai budaya rasuah. Jadi kita tak mahu hal ini diteruskan. Tapi kalau penerusan projek sebelum (hari) penamaan calon, itu saya fikir tak perlu dibangkitkan kerana keputusan Jemaah Menteri adalah sebaik penamaan calon, memang tak boleh, itu keputusannya,” katanya. – UTUSAN










