KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menonjolkan sikap perikemanusiaan berkaitan peruntukan yang adil dan saksama terhadap pembangkang.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, ini kerana ia merupakan isu kemanusian dan kebajikan terutamanya kepada golongan yang memerlukan di kawasan masing-masing.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada Perdana Menteri. Saya tidak rasa beliau orang jahat dan zalim, tetapi dalam bab ini (peruntukan), saya rasa sikap perikemanusiaan itu perlu kita tonjolkan dan ketengahkan.
“Kerana ini bukanlah perkara berkait rapat parti politik dan isu politik, tetapi merupakan isu kemanusian dan kebajikan kerana penafian peruntukan ini bukan hanya akan menyebabkan kesan negatif kepada ahli parlimen, namun orang susah di kawasan parlimen pembangkang.
“Hari ini saya dapat lagi satu daripada Jabatan Perdana Menteri, tipikal jawapan yang mereka dulu bangkang, tetapi kini beri jawapan sama seperti zaman Barisan Nasional,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan tahun 2022.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan perlu memahami perbezaan di antara peruntukan pembangunan kementerian dengan peruntukan kebajikan.
“Contoh di Muar, jawapan rasmi bahawa Jabatan Perdana Menteri berikan (peruntukan) RM200 juta. Bunyi syok dan gah. Saya minta senarai, akhirnya dalam RM200 juta tersebut 90 peratus rupanya ke Pagoh dan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Perdana Menteri, ini bukan peruntukan baharu.
“Pada masa sama, peruntukan ke Muar ialah peruntukan yang telah diluluskan sejak 2018. Tidak ada yang baharu pun. Tetapi, yang lebih mencemaskan apabila orang kawasan datang beritahu mereka perlukan bakul makanan, kerusi roda, susu formula, lampin, mereka pergi ke jabatan kebajikan katakan tidak ada peruntukan (minta) jumpa ahli parlimen, ahli parlimen juga katakan tiada peruntukan.
“Ini masalah yang akhirnya akan berterusan apabila kerajaan dan Perdana Menteri letak sasaran untuk basmi kemiskinan, tetapi pada masa sasaran itu dilemahkan apabila mereka melemahkan kawasan pemabngkang dan menghukum rakyat di pembangkang hanya kerana pilihan politik mereka,” katanya.
Justeru, Syed Saddiq mengingatkan ahli parlimen kerajaan bahawa politik seperti roda.
“Sekejap berada di atas sekejap berada di bawah. Apabila ada kuasa, kita perlu layan pembangkang cara sama seperti kita mahu kerajaan pada masa hadapan layan kita jika kita di kerusi pembangkang.
“Kalau ditakdirkan kalian tewas, tetapi berada di kerusi pembangkang, adakah kalian akan bangun kata ini kejam zalim tidak adil, namun apabila berada di kerusi kerajaan, kalian tidak melakukan apa-apa pun. Itu merupakan perkara hipokrit yang perlu kita tentang dan lawan bersama,” katanya. – UTUSAN










