[PARLIMEN] Pusat fokus noktah kemiskinan di empat negeri

[PARLIMEN] Pusat fokus noktah kemiskinan di empat negeri

HANIFAH HAJAR TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tumpuan untuk menoktahkan kemiskinan tegar di empat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak. 

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, kerajaan komited menoktahkan isu berkenaan tanpa mengira latar belakang kaum dan wilayah atau negeri. 

Katanya, ia selaras dengan matlamat pembangunan inklusif supaya tiada yang tertinggal dan terpinggir daripada arus pembangunan sosioekonomi. 

“Dalam usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara, tumpuan diutamakan kepada negeri dan wilayah yang mempunyai peratusan kemiskinan tegar yang lebih tinggi melebihi paras nasional seperti di Sabah (1.2 peratus), Kelantan (0.8 peratus), Sarawak (0.4 peratus) dan Kedah (0.3 peratus). 

“Kerajaan memastikan penglibatan lebih ramai golongan sasar miskin tegar menyertai program pembasmian kemiskinan tegar yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi di seluruh negara,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, keutamaan akan diberi untuk memantapkan penyediaan infrastruktur, mengoptimumkan potensi ekonomi, menambah baik akses kepada perkhidmatan sosial, mempertingkat pembangunan inklusif dan memperkukuh kerjasama antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri. 

Katanya, perkara itu dilaksanakan untuk meningkatkan akses dan peluang pertumbuhan yang seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan, keusahawanan dan taraf hidup.

“Kerajaan turut memperuntukkan sejumlah besar dana bagi melaksanakan program menangani kemiskinan di bawah pelbagai kementerian dan agensi antaranya meliputi program keusahawanan, modal insan, program peningkatan pendapatan lain untuk ketua isi rumah (KIR) miskin tegar. 

“Antaranya ialah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di bawah Kementerian Ekonomi, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Usaha Kasih Madani di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri,” katanya. 

Tambah beliau, tumpuan juga akan turut diberikan kepada ahli isi rumah (AIR) sebagai kaedah dalam membantu keluarga mereka keluar daripada belenggu kemiskinan serta mengurangkan masalah kemiskinan bergenerasi. 

Selain itu, katanya, kerajaan juga turut menyalurkan bantuan tunai khas secara bulanan kepada isi rumah yang tidak berkemampuan untuk menjana pendapatan bagi memastikan mereka terkeluar dari miskin tegar. 

“Kerajaan akan terus melipatgandakan usaha untuk membantu golongan miskin tegar untuk beredar daripada kesukaran kemiskinan melalui pembangunan modal insan, mewujudan pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pengukuhan perlindungan sosial,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN