KUALA LUMPUR: Kerajaan sedar rakyat terkesan akibat kenaikan harga barangan keperluan dan terus berusaha mengadakan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu rakyat, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Menurut beliau, antara faktor utama yang menjadi penyumbang kepada peningkatan harga barangan adalah peningkatan kos pengeluaran yang disebabkan oleh kenaikan kos operasi dan ketidaktentuan bekalan akibat isu geopolitik.
Selain itu, katanya, kadar tukaran mata wang asing yang melibatkan pelbagai kementerian, antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Ekonomi.
“Kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan keperluan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dapat dipenuhi.
“Pelbagai program dan inisiatif telah dikenal pasti dan mula dilaksanakan terutamanya melibatkan program jangka panjang,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Belia menjawab soalan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (BN-Sembrong) yang ingin tahu sejauh manakah kadar inflasi Malaysia suku tahun pertama 2024, 1.8 peratus mencerminkan realiti ekonomi dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh majoriti rakyat dan pengguna.
Terdahulu, Hanifah berkata, kadar inflasi negara kekal di bawah paras 2.0 peratus bagi tempoh dua sukuan berturut-turut memandangkan kadar inflasi pada suku keempat tahun lepas adalah 1.6 peratus.
“Ini bermakna, peningkatan kadar harga barangan dan perkhidmatan adalah menyederhana. Secara amnya, kadar inflasi di paras dua peratus hingga tiga peratus dapat menjamin keseimbangan terhadap ekonomi sesebuah negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara pelbagai program bagi memastikan keperluan dan kesejahteraan rakyat adalah dengan meningkatkan bekalan dan jaminan makanan menerusi pelbagai program pertanian Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Katanya, ia seperti Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 dengan kos sebanyak RM400 juta bagi pelaksanaan aktiviti pemantapan rantaian makanan dan pengukuhan pemasaran agromakanan.
“Seterusnya, Program Pemerkasaan Industri Akuakultur dengan kos sebanyak RM30 juta yang antaranya menyasarkan peningkatan pengeluaran akuakultur sehingga 630,000 tan metrik menjelang 2025; dan Dana Teknologi dan Automasi di Rantaian Nilai Agromakanan dengan kos sebanyak RM50 juta bertujuan membantu usahawan pertanian untuk perolehan peralatan dan perkhidmatan berteraskan automasi dan teknologi 4IR, bioteknologi dan teknologi hijau,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan juga membangunkan indikator kos sara hidup bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah.
“Indikator ini bertujuan untuk membantu kerajaan dalam merangka pelaksanaan program lebih tepat dan berkesan serta membincangkan secara terperinci, khususnya isu harga dan ketersediaan bekalan dalam negara.
“Ketiga, melaksanakan Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertujuan untuk mengenal pasti isu semasa di samping mengesyorkan tindakan susulan bagi menstabilkan harga barangan di Wilayah Borneo. Kajian ini dijangka akan dibentangkan pada bulan Ogos depan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan harga yang berpatutan dan mengelakkan aktiviti mengaut keuntungan secara berlebihan.
“Sebagai contoh, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah melaksanakan pra Ops Kesan dengan mengutip maklumat berkenaan harga barang dan perkhidmatan bermula 2 Mei 2024.
“Ini bertujuan membuat perbandingan harga barang sekaligus menyekat pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lalu,” katanya. – UTUSAN










