KUALA LUMPUR: Sebuah portal yang mengandungi maklumat dan peta kejadian banjir akan dilancarkan kerajaan hujung tahun ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membangunkan portal perkongsian peta kejadian banjir.
Menurut beliau, pembangunan portal tersebut bagi memastikan perkongsian peta itu dapat dimanfaatkan semua lapisan masyarakat.
“JPS melaksanakan sesi libat urus bersama kerajaan-kerajaan negeri, agensi persekutuan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi di sektor swasta bermula 2023 untuk menerangkan kelebihan perkongsian maklumat banjir ini bersama orang awam.
“Pihak yang berkaitan telah memberikan maklum balas positif dan bersetuju peta kejadian banjir dikongsikan kepada orang awam agar pembeli tidak menjadi mangsa membeli rumah yang berisiko banjir di masa hadapan.
“Portal ini dijangka diluncurkan dan bersedia untuk diakses oleh orang awam pada hujung tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab persoalan ditimbulkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang meminta menyatakan sama ada kementerian beliau bersedia mendedahkan status risiko banjir bagi setiap projek perumahan kepada awam agar pembeli tidak menjadi mangsa. – UTUSAN








