Parlimen: Durian segar dieksport ke China bermula suku ketiga 

Parlimen: Durian segar dieksport ke China bermula suku ketiga 

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu, buah durian segar dijangka dieksport ke China bermula pada suku ketiga tahun ini. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya melalui Jabatan Pertanian (DOA) sentiasa memastikan buah-buahan tempatan yang bernilai tinggi dapat dieksport ke pasaran luar negara. 

Menurutnya, usaha mengeksport buah durian segar dari Malaysia ke China bermula sejak 3 Mac tahun lepas setelah akses pasaran buah nangka segar berjaya diperolehi daripada Pentadbiran Am Kastam China (GACC). 

Jelasnya, beberapa inisiatif telah diambil termasuk menandatangani Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar yang membolehkan buah berkenaan dieksport ke China. 

“Kementerian melalui DOA sedang memuktamadkan format Sijil Fitosanitari bersama GACC serta mengemukakan senarai ladang dan fasiliti pembungkusan sedia ada yang telah mengeksport ke China kepada pihak GACC untuk kelulusan eksport durian segar dari GACC. 

“Hanya ladang dan fasiliti pembungkusan buah durian yang memohon dan berdaftar dengan DOA, mematuhi piawaian myGAP (Amalan Pertanian Baik) dan mendapat kelulusan daripada pihak GACC menerusi pematuhan kepada syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Protokol, dibenarkan mengeksport buah durian segar ke China. 

“Kementerian menjangkakan proses kelulusan pendaftaran dengan GACC ini memerlukan tempoh selama dua hingga tiga bulan dan eksport buah durian segar dijangka bermula pada suku tahun ketiga tahun 2024,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan, hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Yui Hui (PH-Raub) yang ingin tahu usaha Kementerian untuk mempercepatkan proses pengeksportan durian-durian segar ke negara China. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN