Panggilan penoreh getah perlu ditukar, tarik minat belia

Panggilan penoreh getah perlu ditukar, tarik minat belia

Kerajaan dicadang menggantikan panggilan penoreh getah kepada operator pengeluaran getah bagi menarik minat golongan muda menceburi komoditi itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah) mencadangkan panggilan penoreh getah yang digunakan selama ini ditukar kepada operator pengeluaran getah bagi menarik minat golongan muda menceburi komoditi itu.

Pengerusi Pergetah, Mohd. Taufik Yaacob berkata, penggunaan nama penoreh getah dilihat menjauhkan golongan itu daripada pekerjaan berkenaan walaupun mereka sepatutnya boleh mewarisi kebun getah yang ditinggalkan ibu bapa atau nenek moyang masing-masing.

“Saya bukan mahu menghina panggilan penoreh itu kerana saya sendiri terlibat dalam komoditi ini dan mempunyai ladang getah, tetapi saya merasakan kita perlu melakukan pembaharuan dengan menggunakan operator pengeluaran getah.

“Sebenarnya golongan anak muda ini tidak berminat menoreh getah kerana kalau menoreh getah kita merisik anak dara orang, orang tak bagi sebab nama pun penoreh getah. Jadi perlahan-lahan mereka berhijrah ke bandar untuk bekerja sektor lain yang lebih bergaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementeriannya sedang meneliti model konsolidasi atau penyatuan pekebun-pekebun kecil getah mengikut kluster iaitu antara 500 ke 1,000 hektar setiap kluster.

Johari berkata, langkah itu diyakini dapat meningkatkan kapasiti, mengurangkan kos selain dipercayai mampu menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.

Di Kedah, lebih 24,058 hektar kebun getah dilaporkan tidak bertoreh ketika ini selain 34,621 hektar di Kelantan dan Pahang sekitar 19,481 hektar.

Tambah Mohd. Taufik, beliau juga sudah mengesyorkan cadangan penukaran operator pengeluaran getah semasa menjadi Ahli Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sebelum ini.

“Nama pun main peranan, jadi saya dah cadangkan RISDA guna panggilan operator pengeluaran getah dalam program-program mereka, ucapan atau apa sahaja aktiviti berkaitan komoditi itu agar lama-lama nama itu menjadi sinonim dan mampu menarik minat anak muda.

“Jika tidak dilakukan pembaharuan seperti ini tidak mustahil Malaysia akan terus jatuh kedudukan sebagai negara keenam pengeluar getah terbesar dunia selepas sudah menurun daripada ranking kedua sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×