TEMERLOH: Kerajaan negeri bersetuju mewujudkan pusat pembelajaran e-braille pertama di negeri ini di Kampung Mambang Berulang, Mentakab bagi memberi kemudahan kepada kira-kira 80 orang kurang upaya (OKU) penglihatan mempelajari al-Quran.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Saidan berkata, penubuhan pusat itu mendapat kerjasama Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Pahang dan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS), Kuantan.
Katanya, kerajaan negeri akan menaik taraf bangunan PERTIS Pahang di Kampung Mambang Berulang dengan peruntukan awal sebanyak RM300,000 bagi tujuan berkenaan.
“Kerajaan negeri serius dalam meningkatkan syiar Islam termasuk dalam kalangan OKU untuk mempelajari al-Quran menggunakan kaedah teknologi baharu lebih canggih.
“Projek Celik e-Braille Quran Bagi OKU Penglihatan telah diperkenalkan oleh UniPSAS dan ia sangat baik diwujudkan sebuah pusat pembelajaran e-braille di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sabariah berkata, penggunaan e-braille dapat memantapkan lagi proses pembelajaran kitab suci itu dalam kalangan pelajar perintis kelas tersebut.
Katanya, kelas al-Quran untuk OKU penglihatan itu menggunakan kepakaran UniPSAS dan sukarelawan PERTIS Pahang yang komikted membantu rakan senasib mempelajari al-Quran sehingga khatam 30 juzuk.
Sementara itu, Pengerusi PERTIS Pahang, Mohd. Bakri Mohd. Said teruja dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang yang komited menyediakan dana membeli e-Braille Quran dan menaik taraf bangunan sedia ada.
Katanya, penggunaan e-Braille al-Quran diharap dapat mempertingkat kemahiran membaca, mempelajari al-Quran dan tajwid dalam kalangan orang cacat penglihatan.
“Lazimnya sebelum ini OKU penglihatan menggunakan naskhah al-Quran Braille biasa yang dibahagikan kepada enam jilid untuk mempelajari bacaan 30 juzuk al-Quran dan tajwid,” katanya. – UTUSAN









