KUANTAN: Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) menyediakan kemudahan al-Quran Braille buat orang kelainan upaya (OKU) mempelajari dan membaca kitab suci itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, melalui pendekatan tersebut, keprihatinan UniPSAS dilihat dapat membantu menyuburkan ilmu al-Quran dalam kalangan golongan OKU.
Menurutnya, UniPSAS mempunyai kemampuan yang tinggi dan sentiasa bersedia dalam memartabatkan ilmu agama.
“UniPSAS mengorak langkah ke depan berbanding pusat pengajian tinggi yang lain dalam menyediakan kepakaran, modul dan penyelidikan berkaitan golongan OKU.
“Kekurangan daripada segi fizikal bukanlah penghalang kepada golongan untuk terus berjaya dalam bidang akademik mahupun pembinaan sahsiah.
“Melalui pembangunan pendidikan seperti ini kita dapat membangunkan OKU bukan sahaja OKU fizikal tetapi juga yang melibatkan masalah penglihatan untuk kita terus mengajar ilmu al-Quran,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek CelikQuran bagi OKU Penglihatan Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini.
Sabariah turut memaklumkan kerajaan negeri sejak tahun lalu menyediakan peruntukan berjumlah RM1.2 juta melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diselaraskan UniPSAS bagi menjayakan program Celik al-Quran Braille.
Katanya, peruntukan itu termasuk pembelian al-Quran Braille untuk memudahkan golongan berkenaan membaca dan menyediakan kemudahan serta penganjuran latihan bersesuaian.
“UnIPSAS diharap menggerakkan banyak aktiviti berbentuk kursus dan latihan untuk meningkatkan jumlah guru al-Quran Braille berkemahiran di negeri ini.
“Jadi UnIPSAS perlu lebih giat membuat promosi supaya semua OKU penglihatan di dapat mengambil bahagian,” katanya.
JKM negeri ini merekodkan terdapat 41,898 OKU berdaftar dan 3,737 daripadanya adalah OKU penglihatan. – UTUSAN










