NIBONG TEBAL: Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin malam semalam melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berteraskan empat tawaran utama yang digariskan menerusi akronim PADU.
Joohari berkata, empat teras terkandung dalam manifesto yang diambil daripada perkataan Per-PADU-an itu tertumpu kepada aspek prasarana dan progresif (P), akhlak, akademik, anak muda (A), damai (D) dan untuk semua (U).
Menurutnya, di bawah teras P, antara iltizam beliau adalah untuk memastikan projek-projek infrastruktur air dan lalu lintas seperti projek LRA Sungai Kerian, projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara disempurnakan mengatasi permasalahan.
Berdasarkan teras A, beliau berhasrat untuk meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda melalui Pendidikan Percuma Tuisyen Rakyat untuk pelajar SPM dan mengembangkan program-program STEM, TVET dan AI menerusi Pusat Sebarang Maklumat Nasional (NADI) selain menambah serta meningkatkan fasiliti sukan rakyat.
“Huruf D atau damai memberi tumpuan untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kehidupan pelbagai etnik dengan pengukuhan institusi keluarga berdasarkan pelbagai program inklusif menerusi penoktahan miskin tegar melalui pemberian bantuan kerajaan yang efisien.
“Sementara U pula mewakili Untuk Semua meliputi layanan dan perhatian yang adil kepada seluruh masyarakat dengan memberi fokus kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita, pengembangan kanan-kanak serta warga emas tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama,” katanya ketika mengumumkan iltizam beliau menerusi Ceramah Perpaduan di Taman Tasek Indah di Simpang Ampat, di sini malam semalam.
Tambah Joohari, beliau akan cuba menjelaskan kepada masyarakat akan iltizamnya dalam tempoh kempen berbaki enam hari lagi. – UTUSAN










