GUA MUSANG: Seorang petani Orang Asli hanya mampu berputih mata selepas 6,000 pokok ubi keledek yang ditanam di kebunnya di Kampung Redip, Pos Hau di sini disodok sekumpulan babi hutan, lebih seminggu lalu.
Razali Ayeh, 49, berkata, lebih 10 ekor babi dipercayai bergerak aktif pada waktu malam merosakkan pokok ubi dan pagar jaring yang dipasangnya berdasarkan kesan tanah serta tapak kaki.
Katanya, serangan babi di kebun seluas 0.8 hektar itu adalah kali pertama sejak dia memulakan usaha menanam ubi keledek kuning dan ungu tahun lalu.
“Usia tanaman sudah satu bulan dan dijangka keluar hasil pada September ini. Habis rosak pokok ubi yang saya tanam disondol babi hutan sehingga rasa hampir putus asa,” katanya.
Razali memberitahu, dia menanam ubi keledek itu sebagai persiapan untuk jualan sempena Karnival Usahawan Orang Asli yang berlangsung di Angsana Mall, Johor Bahru pada September ini.
Katanya, dia terpaksa berehat daripada melakukan kerja di kebun buat sementara waktu kerana bimbang benih pokok baharu yang ditanam kembali menjadi mangsa babi.
“Kawasan kebun ini ditanam pokok pisang, ubi kayu dan pokok buah-buahan termasuk durian pernah dimusnahkan gajah liar tiga tahun lalu.
“Kali ini, kebun menjadi sasaran babi hutan yang kemungkinan keluar dari habitatnya untuk mencari makanan. Saya bimbang serangan haiwan itu semakin ganas sehingga menjejaskan pendapatan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman di kebun,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Roslina Bun mengesahkan menerima laporan serangan babi berkenaan.
Katanya, Jakoa telah menasihatkan mangsa untuk membaik pulih kembali pagar kebun sedia ada dan pihak jabatan akan cuba kenal pasti bantuan yang boleh diberikan. – UTUSAN











