PETALING JAYA: Sebanyak 101 tangkapan serta rampasan pelbagai barangan kawalan, bersubsidi dan aset melalui Op Tiris dianggarkan bernilai RM101.1 juta dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.
Sebanyak 32 serbuan Op Tiris sejak 1 januari sehingga semalam dibuat seluruh negara.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Kamarudin Md Din berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 272,825 liter minyak diesel bernilai RM 6.31 juta, 31,944 liter minyak petrol bernilai RM 74,284 serta 2,012 kilogram minyak masak bernilai RM 5,030 telah dirampas.
Katanya, aset serta peralatan lain bernilai RM 94.75 juta turut dirampas, menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM101.1 juta.
“Nilai rampasan pada tahun ini menunjukkan peningkatan iaitu RM65.97 juta berbanding tempoh sama, tahun lalu dengan RM 35.17 juta.
“Tindakan tegas dan agresif dalam mengekang aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan subsidi menerusi pelaksanaan Op Tiris oleh Polis Diraja Malaysia telah menunjukkan impak positif dalam memastikan ketenteraman awam serta hasil negara sentiasa dilindungi dan terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Kamarudin berkata, dalam operasi terbaharu, pihaknya menahan enam individu termasuk seorang wanita kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi menerusi Op Tiris di Bayan Lepas, Pulau Pinang, pada 24 Julai lalu.
Katanya, lima lelaki warga asing dan wanita tempatan itu ditahan dalam dua operasi bersepadu bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Jabatan Kawalan Selia Padi dan Beras.
“Kita turut membuat rampasan barangan kawalan dan bersubsidi iaitu minyak masak paket satu kilogram, beras, tepung gandum dan gula kasar dianggarkan bernilai RM56,595.50.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Kawalan Bekalan 1961, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522],” katanya.
Mohd. Kamarudin berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan dalam melaksanakan arahan Perdana Menteri untuk mempergiat dan mempertingkatkan kawal selia serta operasi ke atas barangan kawalan dan subsidi di seluruh negara.
“Ia bagi memastikan barangan tersebut sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan tidak berlaku ketirisan barangan kawalan serta yang akan merugikan negara.
“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” katanya.- UTUSAN










