Ombak tinggi 4 meter, lapan lagi trip feri Langkawi batal

Ombak tinggi 4 meter, lapan lagi trip feri Langkawi batal

OPERASI Terminal Feri Kuala Kedah yang dihentikan sementara akibat faktor cuaca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak lapan lagi perjalanan feri penumpang Langkawi terpaksa dibatalkan semalam ekoran cuaca buruk dan ombak tinggi sehingga empat meter yang melibatkan sebanyak 1,926 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Kedah ke Langkawi.

Pengurus Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Leftenan Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata, jumlah penumpang yang masih tidak boleh meneruskan pelayaran dari Langkawi ke Kuala Kedah adalah 1,030 penumpang manakala jumlah penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi adalah 896 penumpang.

“Kami dimaklumkan ketinggian ombak lebih kurang empat meter sementara kelajuan angin lebih kurang 16 hingga 18 knot, ini boleh membahayakan aktiviti pelayaran feri dan bot-bot kecil,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Kedah di sini semalam.

Tambahnya, trip yang dibatalkan melibatkan perjalanan feri dari Langkawi pada pukul 12.30 tengah hari dengan muatan 259 penumpang; 2.30 petang (271 penumpang); 4.30 petang (345 penumpang) dan 7 petang (155 penumpang).

“Sementara dari Kuala Kedah pula trip pukul 1.30 petang melibatkan 545 penumpang, 3.30 petang (147 penumpang); 5.30PM petang (127 penumpang) dan 7.30 petang (76 penumpang),” jelasnya.

Norhafiz berkata, pihak konsortium menyediakan trip tambahan untuk pilihan kepada para penumpang yang ingin meneruskan perjalanan bagi laluan ke Langkawi di Kuala Perlis pada pukul 4 dan 7 petang serta 8 malam.

Kelmarin, sebuah feri membawa 259 penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah terpaksa berpatah balik disebabkan ombak kuat setinggi empat meter yang merisikokan perjalanan kepada feri dan bot-bot kecil.

Sementara itu salah seorang penumpang yang terkandas, Russita Mohd. Karim, 59, berkata, dia buntu apabila perjalanan pulang ke Langkawi setelah bercuti di Alor Setar terbantut dengan masalah itu.

“Saya tiga beranak sudah empat hari berada di Alor Setar untuk bercuti. Kami sudah beli tiket untuk pulang semalam pada pukul 7 malam dari Kuala Kedah tetapi batal. Kami tukar kepada pukul 3.30 petang hari ini sekali lagi dibatalkan.

“Sekarang kami buntu mahu tinggal lagi di Alor Setar atau pulang ke Langkawi melalui Kuala Perlis sahaja. Masalah feri ini memang tidak selesai kecuali buat jambatan sahaja,” katanya yang juga seorang peniaga.

Dalam pada itu, seorang penumpang yang menaiki feri Langkawi menceritakan saat-saat mencemaskan sepanjang perjalanan ekoran ombak kuat di perairan Kedah dan Perlis semalam.
Mohd. Hilmi Mahmud, 39, yang menaiki feri dari Kuala Perlis pada pukul 8 malam semalam berkata, keadaan ombak ketika itu masih kuat namun bersyukur kerana selamat sampai ke destinasi.

“Saya naik pukul 8 malam, sampai 8.45 malam. Namun sepanjang perjalanan sangat mencemaskan kerana feri melambung dan barang dalam feri bergegar termasuk peti ais. Ketika itu cuma ada 10 penumpang termasuk seorang bayi dan seorang orang kurang upaya (OKU).

“Saya terpaksa redah sahaja sebab hari ini harus kembali mengajar. Mula-mula ambil feri dari Kuala Kedah pukul 3.30 petang tetapi dibatalkan jadi saya ke Kuala Perlis, cuma ada trip pukul 8 malam sahaja,” katanya yang merupakan guru sebuah sekolah di Langkawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN