ARAU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis bakal menambah satu lagi slot bagi acara terjun lelaki dalam Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, penambah slot itu merupakan satu harapan besar memandangkan acara tersebut adalah antara sukan yang menyumbang pingat buat negara.
Beliau berkata, perkembangan mengenai perkara itu semakin menunjukkan perkhabaran baik bagi membolehkan negara menghantar wakil untuk bersaing dalam acara berkenaan.
“Kita tunggu hasil positif dari slot yang bakal tersedia dan harap akan mendapat lebih lagi,” katanya kepada pemberita selepas Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di Dewan Katreena Nuraniah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, hari ini.
Adam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan penambahan slot bagi acara terjun lelaki dalam Sukan Olimpik Paris 2024 tidak lama lagi.
Minggu lalu, penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri menerima slot tambahan bagi acara tiga meter papan anjal wanita sekali gus bakal menemani penerjun muda Bertrand Rhodict Lises yang layak secara merit bagi kategori 10 meter platform lelaki ke kejohanan berkenaan.
Setakat ini, 26 atlet telah mendapat lampu hijau untuk mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.-UTUSAN










