Nur Syiefa bangun seawal 4 pagi ulang kaji, raih PNGK 4.00 STPM - Utusan Malaysia

Nur Syiefa bangun seawal 4 pagi ulang kaji, raih PNGK 4.00 STPM

NUR Syiefa Ummairah Zaidi (tengah) bersama ibu dan bapanya selepas meraih keputusan cemerlang PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM 2023 yang diumumkan di SMK Syed Sirajuddin, Arau, Perlis, semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kesungguhan dan tidak mengenal erti putus asa dengan setiap hari bangun seawal pukul 4 pagi mengulang kaji pelajaran menjadi pemangkin kepada kejayaan anak seorang penjual sayur memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 sekali gus membanggakan kedua ibu bapanya.

Nur Syiefa Ummairah Zaidi,19, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin di sini meraih keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM yang diumumkan, hari ini..

Nur Syiefa yang berasal dari Kampung Gial, Mata Ayer, di sini berkata, dia kebiasaan akan bangun seawal pukul 4 pagi pada setiap hari bagi melakukan ulang kaji sebagai persediaan menghadapi peperiksaan STPM.

Katanya, ulang kaji yang dilakukan pada waktu awal pagi memudahkannya untuk mengingat apa yang diajar dan sentiasa konsisten melakukan rutin itu setiap hari.

“Saya memang akan bangun awal pagi dan ulang kaji semula apa diajar oleh guru supaya mudah untuk ingat untuk menghadapi peperiksaan STPM. Selepas ulang kaji saya akan berhenti sebentar untuk solat Subuh dan menyambung semula ulang kaji selepas itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini..

Nur Syiefa merupakan antara 16 calon di negeri ini yang meraih keputusan cemerlang PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM 2023.

Tambah anak bongsu dari dua beradik itu, dia sememangnya tidak menyangka meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM memandangkan keputusan PNGK sebelum ini adalah 3.5.

Kata Nur Syiefa, bapanya, Zaidi Musa, 55, yang merupakan penjual sayur dan ibunya, Noraini Abdullah, 52, sering memberikan sokongan dan motivasi untuk dia mengecapi kejayaan.

“Saya sentiasa cuba berusaha sehabis baik dalam peperiksaan itu dan selebihnya hanya tawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Syiefa berkata, dia juga merancang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) selepas ini dalam bidang Ijazah Sains Komputer.

Tambahnya, dia memilih untuk menyambung pengajian di Tingkatan 6 sebelum ini bagi mencari jurusan yang bersesuaian di universiti terlebih dahulu.

“Sebelum ini, saya menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Arau namun sukar untuk menyesuaikan diri dan kemudiannya memilih untuk sambung pengajian di Tingkatan 6 bagi melihat jurusan yang bersesuaian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN