PETALING JAYA: Majlis Perundangan Melayu (MPM) tidak bersetuju dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berhubung penutupan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) yang dianggap tidak munasabah yang dikaitkan dengan isu kontroversi video melawat Pulau Pinang.
Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani MPM, Kamal Shukri Abdullah Sani berkata, GTWHI terlebih dahulu telah bertindak tidak munasabah dengan menafikan dengan mengadakan slot video tanpa kisah pribumi asal Pulau Pinang, iaitu orang Melayu (majoriti di negara ini) yang membuka Pulau Pinang sebelum Francis Light tiba.
“Sangat tidak munasabah dan meragukan jika fakta sejarah lama yang sangat jelas terlepas pandang. Hal ini tidak dapat dimaafkan dengan begitu mudah. Kita bimbang jika ada agenda halus untuk melupuskan fakta sejarah yang sebenar.
“Jika hal ini disengajakan, jelas berkemungkinan ada sesuatu tidak patut dilakukan apatah lagi oleh badan yang berautoriti. Walaupun pihak berkenaan telah memohon maaf dan seorang timbalan menteri telah mengingatkan bahawa hal tersebut tidak perlu dipanjangkan tetapi mengikut kronologi pelbagai peristiwa sebelum ini, permohonan maaf sudah tiada nilai lagi. Macam sudah menjadi mainan sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Kamal Shukri turut menyelar kenyataan Kon Yeow yang mengatakan bahawa nama George Town tidak perlu ditukar dan sudah lama digunakan.
“Beliau patut sedar bahawa maruah negara ini perlu diletak di atas sekali berbanding sifat atau sikap mengagungkan penjajah yang wajib dikikis daripada minda rakyat. Apatah lagi pemimpin sebagai tanda benar-benar mencintai jari diri dan citra sebenar negara Malaysia.
“Mengapa perlu mengikut yang lain pula jika jelas hal itu tidak wajar. Pemimpin perlu membuat tindakan yang betul. Nama yang wajar wajib berjati diri negara ini. Justeru, nama George Town wajib ditukar kepada Tanjung atau Tanjung Penaga dan Butterworth kepada Bagan. Kedua-dua nama tersebut memang lebih mesra di bibir rakyat di utara khasnya Pulau Pinang dan Kedah sejak tahun 60-an hingga kini,” katanya.
Tambahnya, Kon Yeow tidak patut menganggap cadangan pertukaran nama itu sebagai isu politik.
“Saya juga orang utara dan membesar dengan saudara-mara di kedua-dua buah negeri. Janganlah dianggap ini isu parti (kebetulan baru-baru ini Pas yang mencadangkan) kerana isu ini telah berkali-kali dipandang sejak tahun 80-an.
“Hanya kedegilan sejarah dan minda ketaksuban penjajah maka ia belum dipinda lagi. Banyak juga yang telah bertukar nama. Mungkin beliau pun tidak ingat lagi di mana Jesselton, Port Weld, Bukit Maxwell dan beberapa lagi. Malah telah banyak pihak mencadangkan semua nama yang berbau penjajah ditukar.
“Wahai Ketua Menteri Pulau Pinang, jadilah suri teladan yang berjiwa besar dan mendahului pada era kerajaan Madani ini dengan menukar dua nama tersebut dahulu agar diikuti oleh pemimpin lain. Bukannya menunggu pemimpin lain menukar nama di tempat lain dahulu sebagai helah untuk terus berdegil. Ini negara kita, bukan England atau Jerman,” katanya. – UTUSAN










