KUALA SELANGOR: Enam ahli parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bekas anggota Parti Bersatu didakwa digugurkan keahlian mereka dalam parti itu bukan dipecat atau dibuang.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu dilakukan mengikut aturan yang betul dengan meminda Perlembagaan Bersatu supaya selaras dengan peruntukan Akta Anti Lompat Parti.
“Jika seseorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri Bersatu membuat sesuatu yang dianggap melanggar dasar parti, maka terhentilah keahliannya. Bukan dipecat, disingkir atau dibuang tetapi kerana tindakan mereka sendiri itu menyebabkan dirampas menjadi ahli.
“Maka, seharusnya mereka sudah mengosongkan kerusi dan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Rakyat Lawan Hipokrasi, malam tadi.
Kelmarin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim dilaporkan mencabar Muhyiddin menyatakan secara jelas sama ada enam Ahli Parlimen yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat atau tidak.
Malah, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mereka kekal sebagai wakil rakyat selepas parti berkenaan menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Selain itu, kerusi DUN Selat Klang kekal milik Datuk Abdul Rashid Asari selepas Speaker Selangor, Lau Weng San memutuskan pengguguran keahlian terhadap beliau adalah bersifat terancang seperti dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Menurut Muhyiddin, kepemimpinan dan pengurusan sesebuah parti lebih mengetahui perkara berkaitan ahlinya.
“Siapa yang harus tahu siapa yang menjadi ahli atau tidak dalam parti? Sudah tentunya adalah daripada parti dan Speaker tidak mengetahuinya.
“Apabila dimaklumkan bahawa mereka tidak lagi ahli Bersatu, tugas Speaker ialah mengumumkan pengosongan kerusi dan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari,” ujarnya.
Katanya lagi, perkara itu bagaimanapun tidak berlaku dan keputusan Speaker dianggap janggal, tidak berperlembagaan dan wajar dicela. – UTUSAN










