KUALA LUMPUR : Peneraju inovasi dalam perkhidmatan kewangan digital, Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade), telah melancarkan Kad Korporat mereka, Merchantrade Money Biz, yang kini menjadi Kad Prabayar Perniagaan Visa pertama di Malaysia.
Produk inovatif ini direka untuk memudahkan pengurusan perbelanjaan bagi syarikat-syarikat dari pelbagai industri dan saiz, dari Korporat hingga Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS).
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusannya, Ramasamy K Veeran, Merchantrade Money Biz menggabungkan 3 kaedah inovatif iaitu Kad Prabayar Perniagaan Visa yang dipautkan dengan eDompet pelbagai mata wang, dan portal pengurusan perbelanjaan dengan fungsi yang direka untuk perniagaan moden.
“Merchantrade Money Biz bersedia menandingi kad kredit korporat tradisional yang dikeluarkan oleh bank. Kad kredit korporat biasanya hanya untuk eksekutif atasan, kini ia memberi kelebihan kepada pekerja di semua peringkat dengan kad prabayar korporat sambil menyediakan kemudahan untuk majikan mengawal dan mengurus kewangan dengan tepat dan betul.
“Kami yakin bahawa kad prabayar korporat ini adalah satu inovasi yang telah mengubah cara syarikat dalam mengurus perbelanjaan mereka dan menjadi satu alternatif yang terbaik bagi mereka yang tidak dapat memperoleh kad kredit korporat dengan bebas risiko pembelanjaan berlebihan dan bebas faedah,”katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penyelesaian Komersial dan Pergerakan Wang Visa untuk rantau Asia Tenggara, Roy Choudhury Debarun berkata, pihaknya berbesar hati menjalin kerjasama dengan Merchantrade Asia bagi memperkenalkan kad prabayar pertama untuk syarikat-syarikat korporat dan PKS di Malaysia.
“Ini adalah penyelesaian yang relevan dan tepat pada masanya, kerana kita telah melihat pertumbuhan sebanyak dua-angka dalam perbelanjaan kad komersial di Malaysia berbanding tahun lepas.
“Ia juga menunjukkan peningkatan permintaan oleh syarikat-syarikat di negara ini untuk menggunakan kaedah pembayaran digital dan inovatif,”katanya.
Lebih daripada 80 syarikat telah mendaftar semasa fasa percubaan, menunjukkan permintaan yang tinggi dan penerimaan yang positif.
Ini menekankan komitmen Merchantrade untuk menyediakan penyelesaian kewangan digital yang inklusif dan efektif dalam memenuhi keperluan syarikat yang berkembang pesat di Malaysia.
Merchantrade yakin bahawa penyelesaian ini akan mengubah cara syarikat beroperasi menerusi kaedah, fungsi, dan kerjasama baru yang sedang dibangunkan.
Visi Merchantrade juga selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan syarikat mendigitalkan operasi mereka dan menerima gaya baharu dalam usaha membina ekonomi yang lebih tanpa tunai.










