Menteri, timbalan diarah masuk kampung

Menteri, timbalan diarah masuk kampung

ANWAR Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang, semalam. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua menteri, timbalan dan pegawai kanan kerajaan diarah masuk ke kampung sebulan atau dua bulan sekali bagi memantau dan menyelesaikan masalah serta isu-isu yang membelenggu rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, mereka juga perlu mene­rangkan tentang pelaburan dan projek besar serta arahan kerajaan Pusat dalam program Kampung Angkat Madani kepada rakyat.

Katanya, setiap jemaah menteri, ketua setiausaha negara (KSN), ketua setiausaha kementerian (KSU) dan semua pegawai kanan kerajaan juga mesti memilih kampung asal atau lain-lain untuk dijadikan kampung angkat masing-masing.

“Sebab apa pilih begitu? Se­bab kita semua ada teori, masing-masing bercakap soal kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan. Bagaimana kita hendak ukur berjaya atau tidak? Kita ukur dari peringkat bawah, bermakna kalau hendak tahu berjaya atau tidak, turun ke kampung lihat soal kesihatan, pendidikan, keciciran, bumbung bocor, soal orang miskin, soal mental dan masjid.

“Macam mana kita hendak tahu? Sekarang ini ada jentera kerajaan, betul, tapi kadang-kadang tidak sampai maklumat.

“Jadi sekitar 2,000 ke 3,000 orang besar-besar ini, dia balik kampung dia dengar daripada jawatankuasa masjid, persatuan belia, persatuan masyarakat, ketua kampung, penghulu dan penggawa. Dia dengar sendiri semua di bawah, tidak payah panggil daripada Pusat dan negeri, dia sendiri turun mudah-mudahan dapat selesai dengan baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kampung Angkat Madani Peringkat Kebangsaan 2024 di Kampung Chengal Lempong, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, tindakan turun ke kampung dan mendengar permasalahan di situ sudah pun dilakukannya beberapa bulan lalu di kampungnya di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sementara itu, ketika berucap pada Program Madani Rakyat Zon Timur 2024 di Da­taran Sayangi Kuantan semalam, Perdana Menteri menegaskan, pelaburan berbilion ringgit yang masuk ke negara ini bukan sembang jalanan seperti mana tuduhan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau memaklumkan, pe­la­buran termasuk daripada sya­rikat besar seperti Google ber­nilai RM9.4 bilion sedang giat dilaksanakan.

“Saya terkesan kerana sekarang ini orang kata pelaburan sudah masuk tetapi tak ada perubahan bilion-bilion, tidak ada apa-apa, sembang jalanan.

“Google sudah beli tanah dan mula projek dan kita percepat kelulusan kerana pelaburan Google itu RM9.4 bilion, bukan umum tetapi sudah beli tanah, sudah pecah tanah dan buat projek,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN