DENGAN remang cahaya lilin di dalam gua, beberapa mantera dibaca. Syaitan-syaitan berhimpun ketika patung pemujaan dikeluarkan.
Sekelip mata dunia dilanda tragedi misteri, orang muntah darah dan paku, ada yang melolong di jalanan, menggelupur Kedanasan.
Menerusi naskhah Nafsu, pelakon, Aqasha Rosli, diberi kepercayaan mewujudkan adegan it dengan karakter Gusti yang juga ketua kumpulan kesesatan.
Aneh bagaimana sebuah naskhah terbit di masa yang tepat; ketika Malaysia
digemparkan dengan siri kes penculikan sehingga beberapa teori spekulasi membabitkan kumpulan pemujaan bertebaran di media sosial.
Agasha atau Firdee Akassya Rosli, 42, tidak menyangkal, lima tahun belakangan in sudah ada gelombang baru dalam kandungan sinematik tempatan.

Gegarnya cukup kuat untuk mengejutkan segala yang selama ini tepu, kaku dan membatu. Pembikin naskhah, penulis tempatan semakin agresif bereksperimen dengan genre, menguis hal taboo dan kritis.
“Seni adalah apabila sesuatu yang dihasilkan itu membolehkan kita berinteraksi dengan masyarakat.
Kekuatan sebuah naskhah bergantung kepada penulis serta pengarah yang sensitif tentang apa yang sedang dibualkan oleh orang ramai.
“Saya fikir, tanpa pengaruh pengalaman, naskhah yang dihasilkan terasa plastik, planted dan tidak matang. Penceritaan adalah cermin kepada pemikiran dan nilai yang ingin diletakkan pengarah.
“Tapi dalam tempoh lima tahun belakangan ini dengan wujudnya lebih banyak platform over-the-top, kita sudah memasuki fasa di mana pembikin tempatan sudah berani bereksperimen. Selain menghidangkan cerita seram dan romantis, genre kita juga sudah berkembang kepada supernatural, sains fiksyen dan terbaru sukan.
“Industri perfileman Malaysia bermula agak lambat berbanding negara lain, juga ada beberapa isu lain seperti royalti, hak cipta, dan cetak rompak yang menghambat kita ke belakang. Tapi saya boleh katakan kita kini sudah semakin stabil,” katanya yang sudah membintangi 57 naskhah sejak 2002.
Dalam semangat berevolusi, Aqasha turut menekankan kepentingan untuk menghasilkan naskhah dengan citra, identiti dan budaya Malaysia.
Katanya, inilah juga perkara yang diperjuangkan Allahyarham P.Ramlee semasa hayat, menjadikan filem seniman itu menonjol dan malar segar.
“Selain memaparkan isu semasa, kita wajar ketengahkan filem dengan budaya Malaysia yang serba majmuk.
Saya tidak nafikan, jika sebuah cerita itu dihasilkan dalam bahasa Melayu, penceritaan dan penyampaiannya akan lebih dekat dengan orang Melayu.
“Namun begitu, kita sudah di fasa di mana jurang perbezaan antara kaum itu sudah dirapatkan dalam layar. Budaya perpaduan dan keharmonian inilah yang kita bawakan di dalam naskhah contohnya dalam filem Abang Adik. la adalah filem Malaysia.
“Lagi pula, walaupun kita berbeza, tapi sebagai manusia, kita semua ada persamaan. Kita ada kesedihan, marah dan emosi yang sama,” jelasnya ketika ditemui di sesi fotograti khas bersama Pancaindera baru-baru ini.

JATUH. TETAPI TIDAK BERSEPAI
AQASHA baru berusia 20 tahun ketika debut filem pertamanya, Embun mencetuskan fenomena. Lakonan yang sama meletakkannya sebagai calon pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-16.
Namun, muda dan popular di zaman sebelum era sosial tidaklah terlalu dahsyat. Paling tidak, ada yang memerhati atau meminta bergambar jika bertemu
di tempat awam.
Waktu itu, belum ada nombor pengikut atau jumlah likes yang boleh mengukur seberapa terkenalnya untuk dibanding-bandingkan dengan artis
lain.
Bergerak sendiri tanpa dijaga mana-mana pengurusan membuatkan Aqasha pernah ditipu.
“Waktu itu saya baru lagi, saya sampai hari ini bergerak sendirian tanpa pengurusan. Saya ambil satu tawaran berlakon watak utama untuk
sebuah telemovie. Selepas habis penggambaran 12 hari, mereka hilang tanpa beri saya apa-apa bayaran.
“Saya telefon tidak berangkat. Waktu itu tiada WhatsApp. Bila telefon tidak berangkat, apa lagi kita boleh buat? Reda sahajalah ditipu. Mulai hari itu saya semakin berhati-hati,” ceritanya.
Memasuki tahun ketujuh bergelar penggiat seni yang sangat aktif bernyanyi dan berlakon, jejaka asal Shah Alam, Selangor ini mula merasakan ada yang hilang.
“Saya mempersoalkan kapasiti saya. Saya percaya seorang Aqasha boleh buat dan teroka banyak benda, tapi sayangnya ruang itu tiada. Saya terfikir juga, mungkin masa saya sebagai pelakon sudah selesai. Lagi pula saya sudah berkahwin ketika itu,
saya mahu pekerjaan yang stabil untuk menanggung keluarga,” dedahnya.
Selepas empat tahun menghilang dari radar industri dan bekerja sebagai pegawai korporat, Aqasha mengambil keputusan untuk kembali.
“Ada rakan industri yang ajak saya untuk buat kerja belakang tabir jaga audio untuk filem Mamat Khalid. Itulah momen yang buat saya kembali, industri menyambut saya dengan baik, seolah-olah seorang Aqasha tidak pernah hilang,” jelasnya.

TIDAK MUNGKIN SAYA MABUK
DITANYA apakah perkara yang paling menghirisnya sepanjang bergelar artis, Aqasha mengambil jeda sebelum mendedahkan zaman media sosial banyak menguji minda dan kesabarannya.
Masing-masing di platform itu sudah seperti orang gila yang cakap main lepas sahaja.
“Masyarakat di media sosial entah kenapa sangat suka menghukum. Mereka mencari sisi ketidaksempurnaan seseorang. Mereka main taip sahaja apa yang terlintas di minda bawah sedar mereka. Bagi saya itu tidak sihat.
“Baru-baru ini ada warganet yang korek gambar saya bernyanyi di pub waktu zaman belajar dan keluarkan cerita bukan-bukan.
“Sedangkan kisah sebenarnya, ketika menuntut di International College of Music, saya dan kawan- kawan tubuhkan band. Kami bernyanyi di pub setiap hujung minggu demi mencari wang untuk makan. Zaman itu bernyanyi di pub atau bar adalah perkara biasa. Ia bukan keaiban kepada saya.
“Kami tidak teguk minuman keras. Bagaimana kami hendak buat persembahan dengan baik kalau kami mabuk?” ceritanya.
Bagaimanapun, itulah asam garam yang terpaksa diharung penyanyi Obsesiku ini. Walaupun hidup hari
ini terasa murung, Aqasha masih percaya kepada harapan yang terbit dalam estetika seni Malaysia. Walau samar-samar, tapi kita bersiap untuk keluar.










