NIBONG TEBAL : Pengundi yang tinggal luar dari kawasan Sungai Bakap disaran memanfaatkan cuti panjang hujung minggu ini untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Sabtu ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, saranan itu bertujuan memastikan peratusan keluar mengundi meningkat berbanding peratusan yang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos tahun lalu.
“Kalau kita bandingkan dengan PRK Kuala Kubu Bharu baru-baru ini, peratusan keluar mengundi adalah 61 peratus dan ia menunjukkan penurunan sebanyak tujuh peratus (berbanding sebelumnya).
“Diharapkan peratusan keluar mengundi tidak terlalu rendah (Sabtu ini) dibandingkan dengan PRN yang lalu iaitu sebanyak 77 peratus.
“Justeru, pengundi yang berada di luar, manfaatkanlah cuti panjang sehingga Isnin nanti untuk balik kampung dan tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Media PRK Sungai Bakap di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Maslan dengan nada berseloroh menyeru pengundi luar pulang hanya jika mereka mahu mengundi calon Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin.
“Seruan (untuk pulang ke kampung) ini kepada mereka yang ingin mengundi calon nombor satu (Joohari) sahaja. Namun, sekiranya mereka ingin mengundi calon nombor dua (Abidin Ismail), saya rasa tak balik pun tak apa.
“Apabila kita memilih calon yang kita ingin pangkah, mestilah calon itu berada di pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kerana realiti dalam politik Malaysia ini, jika kita berada dalam kerajaan, maka kita mudah untuk menyelesaikan masalah serta mendapatkan peruntukan-peruntukan.
“Jadi, kita kena berfikir secara rasional dan jangan hanya menggunakan sentimen semata-mata,” katanya.
PRK DUN Sungai Bakap yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Joohari dengan calon Perikatan Nasional (PN) iaitu Abidin.-UTUSAN









