KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pandangan dan usul Profesor Kehormat Al-Imam Al-Akhbar Profesor Dr. Ahmed Mohammed Al-Tayeb Sheikh Al-Azhar Al-Sherif dimanfaatkan rakyat Malaysia untuk mencapai cita-cita sebagai sebuah negara madani.
Antara lain, Sheikh Al-Azhar mengusulkan supaya Malaysia mengambil langkah lebih positif dan berani menunjukkan akhlak Islam dalam menyantuni bukan Islam bukan hanya di dalam negara malah seluruh rantau Asia.
Perdana Menteri berkata, Sheikh Al-Azhar juga menggesa beliau supaya bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh menghimpunkan kekuatan bagi memastikan ada sikap lebih lunak, berbaik sangka, hormat menghormati dan saling kenal mengenali (lita’arafu) antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini.
Katanya, pandangan lain dilontarkan Sheikh Al-Azhar adalah umat Islam mesti menguasai disiplin baharu dalam bidang teknologi.
“Ini (Sheikh Al-Azhar) salah satu alim yang memberi penekanan pendekatan kepada saya menerusi tembok-tembok ilmu baharu (untuk) meneroka alam pemikiran baharu termasuk digital, kecerdasan buatan (AI) dan beliau di antara pembuka mempelopori World Future Summit pada September depan di New York (Amerika Syarikat).
“InsyaAllah kita akan tunaikan amanat ini dengan sebaik mungkin,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah kepada Sheikh Al-Azhar.
Penganugerahan itu disempurnakan Pro Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.
Perdana Menteri berkata, keputusan USIM memberikan pengiktirafan tertinggi kepada Sheikh Al-Azhar adalah keputusan bijak kerana beliau memberi sumbangan sangat besar pada dunia Islam termasuk di alam Melayu.
Katanya, Sheikh Al-Azhar juga menjadi benteng utama dalam mempertahankan akidah ilmu dan menanam semangat dan roh Islam ke dalam masyarakat.
“Sheikh Al-Azhar menyebut tentang kepincangan yang berlaku akibat daripada asakan pemikiran barat sama ada ideologi liberal yang menyimpang (daripada) landasan Islam.
“(Pada masa sama) beliau mengingatkan kita (tentang) bahaya sikap pelampau (dan) taksub yang menyebabkan perpecahan. Kita harapkan universiti utama seperti Al-Azhar dengan rangkaian sistem pendidikannya dalam negara (ini) dapat meneruskan usaha mempertahankan umat melalui gedung-gedung ilmu,” katanya.
Semalam, Anwar mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al Azhar yang mengadakan lawatan ke Malaysia sebagai penghormatan besar kepada negara kerana menerima kunjungan seorang tokoh dan imam besar yang dihormati dan dimuliakan oleh dunia Islam.
Beliau berkata, Sheikh Al-Azhar, kini dalam rangka lawatan empat hari ke Malaysia hingga Jumaat, dikenali sebagai ketua ilmu yang telah memberikan sumbangan besar kepada dunia Islam sejak sekian lama.
Lawatan khas Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir selain membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik. – UTUSAN










