KUALA LUMPUR: Malaysia berharap China menimbal balik kemudahan pengecualian visa kepada rakyat negara ini selama 30 hari seperti diberikan Malaysia kepada rakyat China.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, buat masa ini China memberikan kemudahan kepada rakyat Malaysia melawat negara itu tanpa visa selama 15 hari.
“Kita minta supaya ia berasaskan kepada timbal balik. Apabila kita beri 30 hari, kita minta China juga memberikan 30 hari.
“Ini memudahkan rakyat Malaysia mengadakan hubungan dengan rakyat negara itu, melancong dan buat mereka yang mempunyai asas perniagaan untuk ke sana,” katanya di Dewan Negara, hari ini.
Terdahulu, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan meminta kementerian menjelaskan langkah diambil bagi mempertingkatkan hubungan rakyat dengan rakyat serta kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan China.
Untuk rekod, Malaysia memberikan pengecualian visa bagi tempoh 30 hari kepada rakyat China dan India untuk melawat melalui Pelan Liberalisasi Visa (PLV) berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu. – UTUSAN










