MAIS belum terima kenyataan bertulis Ustaz Don - Utusan Malaysia

MAIS belum terima kenyataan bertulis Ustaz Don

Ustaz Don
Ustaz Don Daniyal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) belum menerima kenyataan bertulis Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berhubung fakta ceramah agama yang dibuatnya sebelum ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pendakwah selebriti itu belum mengemukakan jawapan bertulis berkenaan setakat ini, namun jawatankuasa berkenaan masih menunggunya sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Selepas menerimanya kelak, ia akan diteliti dan beliau (Ustaz Don Daniyal) tidak akan dipanggil jika jawapan itu memadai.

“Namun, sehingga kini jawapan itu belum diterima dan jawatankuasa masih menunggunya,” katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H, malam tadi.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan penganugerahan tokoh itu kepada bekas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Dr. Abdul Majid Omar selepas menunaikan solat bersama rakyat selain bacaan doa dan ceramah Maal Hijrah.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ustaz Don diberikan tempoh selama 14 hari bagi memberi ­kenyataan bertulis selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Langkah itu dilakukan agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap penceramah berkenaan.

Ustaz Don Daniyal, 41, disiasat mengikut Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan doktrin palsu berdasarkan beberapa aduan yang diterima pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS.

Untuk rekod, seksyen itu menyatakan orang yang me­ngajar atau menjelaskan doktrin atau melaksanakan upacara atau perbuatan berhubungan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau awam adalah melakukan suatu kesalahan jika ia bertentangan dengan hukum syarak atau fatwa yang berkuat kuasa di Selangor.

Terdahulu, tular di Whats­App mengenai notis dikeluarkan (JAIS) bertarikh 21 Jun lalu berhubung penangguhan program ceramah dan kuliah agama Ustaz Don Daniyal di semua agensi dan institusi masjid, surau serta musolla di Selangor.

Penangguhan melibatkan semua program yang telah mendapat persetujuan awal untuk dilaksanakan dan termasuk sebarang program yang sedang di peringkat perancangan.

Sebelum ini, Ustaz Don, 40, ditamatkan khidmatnya oleh RTM sebagai pengacara program Salam Baitullah.

Pendakwah selebriti itu turut memohon maaf berikutan memberi kenyataan mengelirukan di sebuah stesen radio berhubung ibadah berpuasa pada hari Tasyrik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN