LPK tunggu keputusan kerajaan bina pelabuhan ketiga Selangor - Utusan Malaysia

LPK tunggu keputusan kerajaan bina pelabuhan ketiga Selangor

Pelabuhan Klang
EAN Yong Hian Wah (dua, kiri) bersama Pengerusi PKFZ, Lim Lip Eng meninjau projek pembaikan jalan di sekitar Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Klang. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) menunggu keputusan kerajaan untuk membina pelabuhan antarabangsa ketiga Selangor di Pulau Carey, Kuala Langat.

Pengerusinya, Ean Yong Hian Wah berkata, pihaknya secara prinsip bersiap sedia sepenuhnya bagi pembinaan pelabuhan baharu itu kelak.

Jelas beliau, semua kertas kerja dan cadangan projek berskala besar itu telah diserahkan kepada kerajaan bagi penelitian lanjut.

“Segala keputusan itu terserah kepada kerajaan untuk menentukannya dan kita (LPK) masih menunggu.

“Namun, kita kini sememangnya sudah bersiap sedia melaksanakan pembinaan pelabuhan baharu berkenaan,” katanya pada sidang akhbar lawatan tapak projek pembaikan jalan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Pulau Indah di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pulau Carey dijangka menjadi pelabuhan antarabangsa ketiga di Selangor selepas Pelabuhan Utara dan Barat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan kajian LPK selama dua tahun sejak 2019 mendapati lokasi itu bersesuaian termasuk dari segi paras laut.

Pembangunan pelabuhan itu akan mengambil jangka masa panjang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Kerajaan akan mengutamakan syarikat tempatan sebagai operator manakala pelabuhan itu akan dibangunkan pihak swasta seperti pelabuhan lain.

Dalam pada itu, Ean Yong memberitahu penyelesaian masalah jalan rosak dan uzur akibat kekerapan kenderaan berat setiap hari di sekitar Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dijangka selesai pada November ini.

Menurutnya Isu yang dihadapi sejak 17 tahun lalu itu membahayakan pemandu lori dan pengguna kenderaan lain selain dilanda banjir kilat akibat jalan berlubang dan akan diselesaikan melalui projek menaiktaraf dan baik pulih secara menyeluruh itu melibatkan 25 lokasi utama di jalan sepanjang 10.9 kilometer (km).

“Projek fasa pertama yang menelan kos dianggarkan RM30 juta itu dimulakan sejak 17 Mei lalu. Kemajuan fizikal projek itu setakat ini sudah mencapai tahap 40 peratus dan dijadualkan siap pada November nanti.

“Kita menyasarkan ia turut akan melibatkan fasa kedua dan ketiga bagi memastikan semua jalan serta fasiliti di PKFZ berada pada tahap terbaik. Projek itu perlu dilakukan berikutan jalan berkenaan tidak dibaik pulih secara menyeluruh sejak PKFZ dibuka kepada umum pada 2007,” ujarnya.

Katanya lagi, secara purata, lebih 1,000 kenderaan terutama lori menggunakan jalan di kawasan itu yang beroperasi selama 24 jam menyebabkan keadaan jalan rosak dan semua proses baik pulih perlu dibuat sebaik mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN