SHAH ALAM: Orang awam khususnya lelaki diingatkan tugas melindungi wanita diibaratkan seperti menjaga keseluruhan masyarakat.
Malah, memberi pendidikan kepada kaum itu juga dilihat seperti mendidik seluruh ketamadunan bangsa.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, pihaknya akan merangka fokus bagi 2025 kepada wanita dari segi keselamatan dan perlindungan daripada keganasan berasaskan gender.
“Maknanya apa yang berlaku wanita itu dikasari sama ada secara fizikal ataupun mental dan juga akhirnya membawa kepada jenayah seperti mangsa bunuh.
“Satu aspek lagi adalah bagaimana lelaki sebagai pelindung. Lelaki sebagai ketua keluarga, abang, anak dan sebagainya harus memikirkan untuk melindungi wanita dalam keluarganya, walaupun bukan ahli keluarga when you protect woman, you protect the whole nation,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (Usahawanita), hari ini.
Beliau berkata demikian merujuk kepada insiden keganasan yang berlaku terhadap wanita termasuk kes menggemparkan negara berkenaan penemuan mayat Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah yang dipercayai dibunuh.
Tambahnya, pemberdayaan keluarga itu adalah fokus yang akan diberikan secara menyeluruh dan menjangkakan untuk menggubal dasar keluarga bagi mengkaji indeks kebahagian keluarga yang menjadi satu ukuran atau parameter mengukur tahap sosial dan kesejahteraan yang turut ada dalam Rancangan Selangor 1 (RS1).
Bagaimanapun, Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu, enggan membuat kesimpulan awal berhubung insiden pembunuhan tersebut yang kini masih dalam siasatan polis.
Namun, beliau menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa peka terhadap anak-anak terutama ketika masih kecil atau selagi mana masih mereka berada di bawah tanggungjawab orang tua.
“Saya kira, kebetulan hari ini kita sebut tentang digitalisasi, bagaimana kita boleh kesan melalui penggunaan teknologi seperti telefon pintar dan kemudahan lain yang membantu mengesan sekiranya ada orang hilang.
“Satu lagi pesan saya adalah, ibu bapa sebenarnya dalam era yang sangat mencabar ini, keberadaan anak-anak itu perlu sentiasa peka, seperti kita laksanakan kempen kanak-kanak dalam kereta sentiasa bertanya di mana anak-anak, itu tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anaknya selamat baik dari usia kecil hingga dewasa selagi masih dalam tanggungjawab,” ujarnya. – UTUSAN










