GEORGE TOWN: Langkah kerajaan untuk menguatkuasakan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi terhadap semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara rakyat negara ini.
Sebaliknya, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah tersebut bertujuan memastikan pengendali perkhidmatan media sosial dan pesanan internet lebih bertanggungjawab dan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sebelum memuat naik kandungan di platform masing-masing.
“Saya tahu kerisauan ini kerana saya juga adalah rakyat negara ini dan sekarang kami menjadi Kerajaan. Namun, lama juga saya duduk di Parlimen sebagai pembangkang. Saya faham bahawa kebebasan suara adalah penting.
“Oleh itu, saya nak maklumkan kepada semua bahawa kandungan yang diminta untuk diturunkan daripada platform media sosial oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu 50 peratus daripadanya adalah melibatkan perjudian dan penipuan.
“Jadi, kita mahu pengendali perkhidmatan media sosial dan pesanan internet lebih bertanggungjawab. Ketatkan lagi SOP dan panduan komuniti mereka supaya kita tidak nampak bahawa kes jenayah dalam talian atau kes seksual kepada kanak-kanak ini meningkat,” katanya selepas merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pangkalan Kota, di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula 1 Januari tahun depan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, kegagalan memperoleh lesen selepas tarikh kuat kuasa adalah satu kesalahan dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil mengikut Akta 588.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi itu juga bertujuan memerangi peningkatan kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin meningkat pada masa ini.
Katanya, sebanyak 360 kes seksual melibatkan kanak-kanak di media sosial direkodkan pada 2022 dan kes tersebut meningkat kepada 525 kes pada 2023 dan 288 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini.
“Bagi penipuan dalam talian, jumlah kerugian yang diakibatkan oleh penipuan berkenaan adalah sebanyak RM453 juta pada 2022, meningkat kepada RM1.2 bilion pada tahun lepas,” katanya yang memberitahu, jumlah kerugian yang dicatatkan oleh pihak polis pula adalah sebanyak RM637 juta iaitu antara Januari hingga Jun tahun ini.-UTUSAN










