KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki ditahan selepas videonya menunggang motosikal sambil mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol tular, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, lelaki itu ditahan di Jalan Sultan Mahmud dekat sini, kira-kira pukul 1.30 petang tadi.
Menurutanya, polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan berwarna hitam, sehelai seluar, jaket, sebuah motosikal jenis Honda C70 serta topi keledar.
Katanya, ujian air kencing terhadap lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu juga menunjukkan suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Bertindak atas maklumat berdasarkan video yang tular itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) daerah telah menahan suspek, hari ini.
“Siasatan awal menunjukkan suspek ada rekod jenayah lampau dan pernah ditangkap di bawah Seksyen 323/18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).
“Suspek, 26, kini ditahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata disyaki tiruan dan pistol mainan itu turut dirampas,” katanya ketika dihubungi.
Ujarnya, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku terlibat dalam video berkenaan dengan mengambil sepucuk pistol mainan itu di dalam tong sampah.
Menurut beliau lagi, polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki berkenaan yang berasal dari Sabah itu di mahkamah, esok, bagi meneruskan siasatan.
Terdahulu tular di Facebook satu klip video berdurasi 21 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal sambil mengacu-acukan objek menyerupai pistol.
Lelaki itu juga bertindak berbahaya selepas melanggar lampu isyarat merah disyaki di persimpangan Jalan Sultan Mohamad di bandaraya ini. – UTISAN










