Lelaki Thailand mengaku tidak bersalah miliki petrol tanpa lesen - Utusan Malaysia

Lelaki Thailand mengaku tidak bersalah miliki petrol tanpa lesen

SUWIT Sake (tengah) dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memiliki 280 liter petrol tanpa lesen di Mahkamah Sesyen, Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang lelaki warganegara Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, hari ini atas pertuduhan memiliki 280 liter petrol tanpa lesen sah, minggu lepas.

Suwit Sake, 34, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pendakwaan, Suwit yang berasal dari Danok dituduh memiliki petrol sebanyak 280 liter di tepi jalan berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Laka Temin di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, pada pukul 3.50 pagi, 3 Julai lepas.

Barang kawalan berjadual itu ditemukan dalam tangki tambahan di bahagian bawah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dipandu tertuduh dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melanggar Peraturan 3 (1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang kawalan secara borong tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Hilmi Abu Hassan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika disabitkan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain memerintahkan tertuduh melaporkan diri setiap awal bulan di balai polis berdekatan.

Jean Sharmila turut menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguamnya. Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.

Akhbar baru-baru ini melaporkan, sebuah kenderaan pikap berpendaftaran asing dipandu seorang lelaki Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan diserahkan kepada KPDN Kedah selepas mendapati kenderaan tersebut dipercayai diubah suai dan dipasang beberapa tangki tambahan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×