SHAH ALAM: Pelaksanaan dasar Rancangan Selangor 1 (RS1) akan dipantau secara harian dan rumusannya akan dilakukan secara mingguan oleh Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Prestasi serta Unit Perancangan Ekonomi.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri turut melancarkan papan pemuka yang sudah pun boleh diakses sejak suku pertama tahun ini dan dimuatkan dengan kemaskini perkembangan terbaharu progresnya.
“Dalam Dashhoard itu, pemantauan tidak bergantung dengan proses mesyuarat bulanan atau suku tahunan, sebaliknya ia akan dijana dengan pemantauan setiap hari yang akan dibuat oleh pihak sekretariat dan rumusan dibuat minimum setiap minggu.
“Jadi, saya percaya program-program itu dapat diperkemaskan dan daripada situ juga sebenarnya kita akan dapat menghasilkan atau merekodkan beberapa perubahan dasar terutamanya melibatkan hal ehwal tanah dan juga kelulusan,” katanya pada sidang akhbar pameran Kajian Separuh Penggal RS1 selepas membentangkannya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Terdahulu beliau menjelaskan, keseluruhan perkembangan pelaksanaan dasar RS1 yang yang bermula pada 2021 dilapor berada pada kadar 20 peratus dengan jumlah pelaksanaan projeknya menjangkau 70 peratus.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu memaklumkan terdapat projek-projek yang bergerak perlahan berikutan masih berada pada peringkat reka bentuk dan sebagainya.
Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan dasar RS1 turut disokong oleh pelabur-pelabur yang menunjukkan peningkatan nilai kitaran ekonomi lebih RM400 bilion di samping sumbangan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nasional.
“Kalau diukur daripada nilaian ekonomi (Selangor RM400 bilion) itu salah satu daripada kesan yang jelas adalah pada 2022 kerana pertumbuhan ketika itu pada kadar 11 peratus, ia mengalami lonjakan kira-kira 0.7 peratus itu antara yang paling tinggi dalam sejarah negeri, kita berjaya mendapat lonjakan pertambahan sumbangan kepada KDNK nasional.
“Pada 2023 agak sederhana disebabkan faktor geopolitik dan sebagainya yang saya sebut Ukraine dan juga Timur Tengah, mulai suku ketiga atau keempat banyak proses sedikit sebanyak terkekang disebabkan oleh proses PRN yang berlangsung pada 2023.
“Jadi, secara keseluruhannya kita mengalami peningkatan dalam tempoh 2018 sampai 2023 ada peningkatan lebih RM100 bilion kitaran ekonomi dalam negeri ini dan itu sedikit sebanyak disumbang oleh keyakinan pelabur dan kemahuan syarikat dan pemaju terhadap RS1,” jelasnya.
Katanya lagi, dua sektor kekal menjadi penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi iaitu pembuatan dan perkhidmatan. – UTUSAN











